PENDEDAHAN mengenai penahanan seorang pengasas platform motivasi berhubung dakwaan program motivasi perniagaan yang menyimpang bukan sekadar sebuah berita sensasi tetapi amaran keras tentang bagaimana industri latihan dan motivasi perniagaan di negara kita kini sedang diresapi oleh doktrin berbahaya, New Age Movement (NAM) dan kepositifan toksik.
Apabila kursus perniagaan atau pemantapan diri tidak lagi berpijak di bumi nyata, ia mula memuja elemen mistik dan manipulasi psikologi yang akhirnya memusnahkan institusi kekeluargaan dan akidah.
Ramai peserta kursus motivasi hari ini terjebak dengan elemen New Age tanpa mereka sedari. Gerakan ini sering berselindung di sebalik istilah moden seperti ‘pembersihan energi’ ‘manifestasi kuantum’ dan ‘penyelarasan aura’.
Dalam konteks kursus perniagaan yang ekstrem, doktrin ini mengajar seseorang itu adalah ‘tuhan’ kepada realitinya sendiri. Jika anda gagal, ia bukan kerana faktor ekonomi atau strategi tetapi kerana ‘vibrasi’ anda rendah.
Kepercayaan ini sangat berbahaya kerana menghapuskan kebergantungan kepada Tuhan yang Maha Esa dan menggantikannya dengan pemujaan terhadap kekuatan diri yang tidak terbatas atau lebih buruk lagi, pemujaan terhadap susuk ‘guru’ yang mendakwa mempunyai kunci rahsia alam semesta.
Pengaruh NAM ini mempunyai kaitan yang besar dengan kepositifan toksik. Dalam persekitaran ini, peserta dipaksa untuk sentiasa berada dalam keadaan gembira yang luar biasa. Sebarang keraguan, kesedihan, atau kritikan terhadap modul kursus akan dilabel sebagai ‘energi negatif’ atau ‘gangguan minda’.
Inilah yang menyebabkan mangsa menjadi bisu. Apabila berlaku penyelewengan sama ada gangguan seksual, permintaan wang yang tidak munasabah atau ritual yang meragukan, mangsa merasa bersalah untuk membantah kerana takut dianggap sebagai individu yang ‘tidak positif’ atau ‘penghalang kejayaan’.
Mengapa isu ini sering berlaku dalam kursus perniagaan dan motivasi? Kerana di situ adanya kerentanan. Usahawan yang sedang terdesak atau pasangan yang sedang berantakan adalah sasaran empuk.
Modus operandi mereka selalunya berupa:
– Pembanjiran kasih sayang berlebihan: Peserta dilayan seperti keluarga dan diberikan perhatian luar biasa pada peringkat awal.
– Pengasingan: Peserta mula diasingkan secara halus daripada pengaruh keluarga atau rakan yang bersifat skeptikal.
– Meruntuhkan ego: Melalui aktiviti yang memalukan atau meletihkan secara fizikal dan emosi (seperti ritual pelik), ego peserta dipecahkan supaya mereka mudah menerima arahan baharu tanpa bantahan.
Kerana ini, wujudnya keperluan untuk pastikan garis panduan bagi membendung isu ini dilakukan dengan tegas. Kita tidak boleh membiarkan industri motivasi menjadi tidak terkawal tanpa pengawasan.
Pihak berkuasa agama dan badan kawal selia profesional perlu meneliti modul-modul yang dibawa oleh penceramah motivasi selebriti.
Kejayaan perniagaan yang sebenar dibina atas integriti, ilmu ekonomi yang sahih, dan kerja keras, bukannya melalui ritual penyucian tenaga yang meragukan.
Sebagai masyarakat, perlu berani berkata “tidak” kepada motivasi yang menuntut kita menggadaikan kewarasan akal dan batas syariat.
Jangan biarkan impian untuk berjaya menjadi jambatan yang menghanyutkan kita ke lembah kesesatan.-UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)










