KERAJAAN memainkan peranan penting dalam melindungi hak pengguna agar semua barangan dan perkhidmatan berada dalam keadaan selamat, berkualiti serta dijual pada harga yang berpatutan.
Di Malaysia, pelbagai undang-undang dan agensi diwujudkan bagi memastikan perlindungan pengguna sentiasa terjamin dalam setiap urusan perniagaan.
Pertama, kerajaan menggubal undang-undang bagi melindungi hak pengguna. Contohnya, Akta Perlindungan Pengguna 1999 melindungi pengguna daripada penipuan, iklan mengelirukan serta barangan yang rosak atau tidak berkualiti. Undang-undang ini menjadi asas penting dalam memastikan amalan perniagaan yang adil.
Selain itu, kerajaan menguatkuasakan peraturan dengan tegas supaya peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sentiasa memantau harga barangan, amalan perniagaan serta standard produk di pasaran bagi mengelakkan sebarang penyelewengan.
Di samping itu, kerajaan turut menjamin keselamatan produk dengan menetapkan piawaian tertentu sebelum sesuatu barangan boleh dijual. Produk yang didapati tidak selamat akan ditarik balik daripada pasaran demi melindungi keselamatan pengguna.
Kerajaan juga memberi pendidikan kepada pengguna melalui kempen kesedaran dan program pendidikan. Usaha ini membantu pengguna memahami hak dan tanggungjawab supaya mereka dapat membuat pilihan yang bijak ketika membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan.
Dalam masa sama, kerajaan mengendalikan aduan pengguna melalui saluran yang disediakan seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Platform ini membantu menyelesaikan pertikaian antara pengguna dan peniaga dengan cepat, mudah dan kos yang rendah.
Akhir sekali, kerajaan mengawal harga barangan tertentu bagi mengelakkan eksploitasi, terutamanya pada musim perayaan. Langkah ini memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna
Negeri Sembilan










