PERKEMBANGAN berkaitan sekatan atau halangan terhadap pembekalan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia menimbulkan pelbagai persoalan serta perbincangan dalam kalangan pemerhati pertahanan dan geopolitik.
Isu ini dilihat bukan lagi sekadar berkaitan urusan kontrak pertahanan semata-mata tetapi turut menyentuh persoalan lebih besar mengenai realiti pembelian aset strategik dalam landskap geopolitik dunia moden.
Dalam dunia pertahanan hari ini, pembelian sistem persenjataan bukan hanya melibatkan soal kewangan, kontrak dan spesifikasi teknikal. Ia turut dipengaruhi oleh pertimbangan strategik, hubungan antarabangsa, dasar eksport pertahanan, kepentingan kuasa besar dan keseimbangan keselamatan serantau.
Persoalan yang timbul ialah sama ada perubahan dasar eksport yang dikaitkan dengan pihak Norway semata-mata menjadi faktor utama kepada situasi ini atau terdapat pertimbangan strategik lain yang turut mempengaruhi keputusan tersebut.
Hubungan pertahanan Malaysia dengan sistem dan aset negara Barat serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bukanlah sesuatu yang baharu. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah lama menggunakan pelbagai sistem, radar, misil, torpedo dan peralatan komunikasi yang berasal daripada negara Eropah dan negara anggota NATO.
Selain itu, projek Maharaja Lela-class frigate sendiri dibangunkan dengan gabungan pelbagai teknologi Eropah termasuk sistem CMS SETIS dan pelbagai komponen lain yang memenuhi standard NATO.
Atas sebab itu, beberapa pihak melihat perlunya penjelasan lebih terperinci berhubung faktor yang menyebabkan timbulnya isu berkaitan pembekalan NSM pada peringkat ini.
NSM sendiri dianggap sebagai antara misil anti kapal moden yang mempunyai kemampuan tinggi melalui penggunaan teknologi stealth, keupayaan peluru terbangan yang rendah, penggunaan sistem sistem pengimejan inframerah (IIR) serta ciri antigangguan yang maju.
Keupayaan sedemikian memberikan nilai penecegahan yang tinggi kepada mana-mana armada laut yang menggunakannya.
Sekiranya sistem tersebut diintegrasikan sepenuhnya pada armada LCS Malaysia, ia berpotensi meningkatkan kemampuan pertahanan maritim negara secara signifikan melalui peningkatan keupayaan pengawasan, penghalangan dan pertahanan kawasan maritim strategik negara.
Pada masa sama, isu ini juga memberi pengajaran penting bahawa pembelian aset pertahanan strategik hari ini tidak boleh dilihat dalam kerangka teknikal semata-mata. Negara juga perlu mengambil kira faktor geopolitik, kebebasan strategik, risiko kebergantungan teknologi dan kesinambungan sokongan jangka panjang.
Sehubungan itu, pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat (WOGOS) yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dilihat penting untuk diaktifkan secara menyeluruh.
Isu yang menyentuh kepentingan strategik negara tidak seharusnya dipikul oleh Kementerian Pertahanan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk aspek diplomasi, hubungan luar, keselamatan dan dasar negara.
Perkara yang paling utama ialah memastikan kepentingan pertahanan dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara melalui pendekatan strategik yang menyeluruh, pragmatik dan berpandangan jauh. –UTUSAN
SHAHBUDIN EMBUN
Pengerusi Biro Politik SEKPUR & Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu (MPM)










