Mendaulatkan institusi diraja

Mendaulatkan institusi diraja

KEKUATAN Malaysia terletak pada keseimbangan antara raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA keunikan Malaysia ialah sebahagian besar institusi kesultanan Melayu yang berdaulat di dunia masih kekal bertapak di tanah air ini. 

Sistem raja berperlembagaan yang diamalkan menjadi asas penting dalam memelihara kelangsungan institusi raja-raja Melayu, di samping berperanan menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Seiring dengan proses pendemokrasian yang semakin matang, semua pihak sama ada parti politik, ahli politik, kumpulan masyarakat mahupun rakyat umum perlu meletakkan institusi diraja di atas kepentingan politik kepartian. 

Perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi berbilang parti, namun ia tetap memerlukan satu titik penyatuan iaitu institusi raja berperlembagaan.

Dalam konteks ini, pemahaman terhadap peranan raja dan ahli politik perlu berasaskan pembahagian tugas yang jelas seperti yang dihuraikan oleh pemikir perlembagaan Walter Bagehot. 

Beliau membahagikan sistem kerajaan kepada dua unsur utama iaitu berfungsi dan berdaulat.

Kabinet berfungsi sebagai pentadbir negara yang membuat keputusan dasar, manakala raja berperlembagaan berperanan sebagai simbol kedaulatan yang berada di luar pertikaian politik serta menzahirkan nasihat secara tertutup kepada kerajaan.

Pembahagian ini jelas tercermin dalam amalan titah diraja di Parlimen, yang disediakan oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Oleh itu, sebarang penerimaan atau penolakan terhadap dasar kerajaan tidak mencerminkan institusi diraja, sebaliknya mencerminkan mandat politik yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan yang memerintah.

Dengan kedudukan yang kekal neutral, institusi raja berperlembagaan berperanan sebagai penyatu negara, terutama ketika suasana politik menjadi tegang. Peranan ini memberikan kestabilan yang amat penting dalam sistem demokrasi moden.

Namun, kemuliaan institusi diraja tidak seharusnya dipertahankan hanya melalui sekatan terhadap penyebaran fitnah atau kandungan tidak bertanggungjawab di media sosial.

Sebaliknya, semua pihak politik perlu memainkan peranan dengan tidak mengheret institusi ini ke dalam perdebatan politik yang bersifat partisan.

Walaupun raja sentiasa dekat dengan rakyat, tanggungjawab utama dalam membuat dan melaksanakan dasar negara tetap terletak pada ahli politik yang dipilih. Dalam sistem ini, rakyat mempunyai kuasa untuk menilai dan menukar kerajaan melalui pilihan raya sekiranya dasar yang dilaksanakan tidak memenuhi harapan.

Dalam perkembangan semasa, terdapat kebimbangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya mungkin memberi implikasi secara tidak sengaja terhadap struktur sedia ada raja berperlembagaan. 

Perubahan yang melibatkan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor tertentu dilihat sebagai satu pendekatan baharu yang perlu diteliti dengan berhati-hati agar tidak mengubah keseimbangan kuasa yang telah lama wujud.

Dalam masa sama peranan Parlimen sebagai institusi demokrasi perlu terus diperkukuh. Walaupun terdapat pandangan skeptikal terhadap ahli politik, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap mempunyai kelebihan utama iaitu akauntabiliti melalui pilihan raya. 

Sementara rakyat mempunyai hak untuk menilai dan menukar wakil mereka, sesuatu yang tidak dimiliki oleh institusi yang tidak dipilih.

Oleh itu, kebergantungan kepada mana-mana institusi bukan dipilih sebagai pengganti sistem demokrasi perlu dielakkan. Sebaliknya, usaha harus ditumpukan untuk memperkukuh Parlimen agar lebih telus, berkesan dan diyakini rakyat.

Dalam era pendemokrasian yang semakin matang, cabaran utama bukanlah untuk menolak atau menerima demokrasi secara mutlak, tetapi untuk memperbaikinya. Ini termasuk memperkukuh fungsi Parlimen, meningkatkan penglibatan rakyat serta memastikan tadbir urus yang lebih bertanggungjawab di semua peringkat.

Akhirnya, kekuatan Malaysia terletak pada keseimbangan antara raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedua-duanya perlu saling melengkapi bagi memastikan kestabilan, perpaduan dan masa depan negara terus terpelihara. –UTUSAN

 

PROJEK KESTABILAN DAN AKAUNTIBILITI UNTUK MALAYSIA (PROJEKSAMA) 

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN