FENOMENA kemunculan ahli politik selebriti yang membawa imej ‘bebas’ dalam kehidupan peribadi semakin mendapat perhatian masyarakat. Dalam era media sosial yang serba pantas, setiap tindakan tokoh awam mudah dirakam, disebar dan dijadikan bahan tontonan umum.
Keadaan ini akhirnya membentuk persepsi serta nilai dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang masih mencari identiti diri.
Ahli politik, walaupun datang daripada latar dunia hiburan atau populariti, tetap memikul tanggungjawab besar sebagai pemimpin masyarakat. Mereka bukan sahaja dinilai melalui dasar dan kepimpinan tetapi juga melalui akhlak serta tingkah laku peribadi.
Apabila seorang tokoh politik menzahirkan hubungan yang terlalu terbuka dengan tunang atau pasangan sebelum perkahwinan, ia boleh memberi gambaran bahawa batas kesopanan dan norma timur boleh diketepikan. Lebih membimbangkan, keadaan ini sering ditampilkan tanpa rasa segan, malah kadangkala dijadikan bahan promosi gaya hidup moden.
Generasi muda yang sedang membentuk nilai diri sangat mudah terpengaruh dengan figura terkenal. Mereka cenderung meniru gaya hidup tokoh yang mereka kagumi tanpa menilai secara kritikal.
Apabila kebebasan tanpa batas ini dipamerkan secara terbuka, ia boleh mencetuskan salah faham bahawa semua bentuk tingkah laku tersebut adalah normal dan boleh diterima. Natijahnya, nilai seperti kesopanan, maruah diri dan penghormatan terhadap institusi perkahwinan semakin terhakis.
Lebih membimbangkan, kebebasan sering disalah tafsir sebagai simbol kemajuan. Hakikatnya, kebebasan sebenar menuntut tanggungjawab dan kesedaran moral. Tanpa keseimbangan ini, mesej yang disampaikan kepada masyarakat menjadi kabur dan mengelirukan.
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berpegang kepada nilai agama dan budaya timur, paparan hubungan secara terbuka sebelum perkahwinan bukan sahaja mencetuskan polemik, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan pendidik.
Namun begitu, tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada ahli politik selebriti. Masyarakat juga perlu bijak menilai dan tidak menerima segala yang dipaparkan secara bulat-bulat. Ibu bapa dan guru perlu memperkukuh pendidikan nilai agar generasi muda mampu membezakan antara realiti dan pengaruh media sosial.
Pada masa sama, ahli politik sendiri perlu sedar bahawa populariti membawa amanah. Setiap tindakan mereka menjadi cerminan kepada masyarakat. Oleh itu, mereka perlu menunjukkan contoh yang berhemah dan selari dengan nilai Islam serta budaya tempatan.
Kesimpulannya, isu ini bukan sekadar hal peribadi, tetapi berkait rapat dengan pembentukan nilai masyarakat. Kebebasan harus disertai tanggungjawab agar kemajuan tidak mengorbankan akhlak dan jati diri generasi akan datang. –UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










