HARI Ibu yang disambut setiap 10 Mei seharusnya menjadi medan muhasabah untuk masyarakat menghargai jasa insan paling agung dalam kehidupan.
Namun, arus kemodenan, tekanan kerjaya dan pengaruh teknologi semakin menghakis nilai penghormatan terhadap ibu bapa.
Fenomena warga emas terabai, konflik keluarga, pengabaian emosi serta sikap meninggikan suara terhadap ibu bapa menjadi petanda krisis adab yang semakin membimbangkan.
Islam sejak awal meletakkan ibu pada kedudukan yang sangat mulia. Ibu bukan sekadar simbol kasih sayang, malah sumber keberkatan hidup dan pintu menuju syurga. Kemuliaan ini bukan lahir daripada adat atau budaya semata-mata, sebaliknya bersumberkan wahyu Ilahi.
Allah SWT menegaskan pengorbanan ibu sejak mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sebagai jasa besar yang wajib dihargai.
Firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 14 menjelaskan seorang ibu mengandung dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah serta menyusukan anak selama dua tahun. Ayat ini menggambarkan kesusahan fizikal dan emosi yang ditanggung oleh seorang ibu demi memastikan anak membesar dengan sempurna.
Selain itu, Surah al-Ahqaf, ayat 15 turut menjelaskan proses kehamilan dan kelahiran berlaku dengan penuh kesukaran. Kesakitan melahirkan bukan sekadar ujian fizikal, malah perjuangan antara hidup dan mati yang tidak mampu dibalas dengan harta benda.
Kemuliaan ibu juga terserlah melalui kisah Nabi Isa AS yang berbakti kepada ibunya, Maryam. Firman Allah SWT dalam Surah Maryam, ayat 32 menunjukkan sifat berbakti kepada ibu menjadi ciri insan mulia. Ini membuktikan menghormati ibu ialah akhlak para nabi dan tuntutan utama dalam Islam.
Dalam masa sama, Islam turut memuliakan peranan ibu menyusukan anak selama dua tahun sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Baqarah, ayat 233. Penyusuan bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal anak tetapi lambang kasih sayang, pengorbanan dan amanah besar seorang ibu.
Sesungguhnya, Hari Ibu tidak seharusnya terhenti pada sambutan simbolik atau pemberian hadiah semata-mata. Penghayatan sebenar menuntut setiap anak memuliakan ibu sepanjang hayat melalui tutur kata yang sopan, bantuan kewangan, ziarah, perhatian dan doa yang berterusan. Kejayaan sebenar bukan hanya mengejar kejayaan dunia tetapi memperoleh reda ibu yang menjadi jambatan menuju reda Allah SWT. –UTUSAN
PROFESOR. MADYA DR. AZRI BHARI & DR. NIK AIRIN AQMAR BINTI NIK AZHAR
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Kolej Islam Antarabangsa (IIC)










