PADA setiap 16 Mei, Malaysia menyambut Hari Guru sebagai mengenang jasa dan budi guru, mendidik anak-anak Malaysia menjadi insan yang berilmu dan berkualiti.
Dalam menjayakan sambutan tersebut, bukan sahaja warga pendidik, malah pelajar dan masyarakat sama-sama melibatkan diri sebagai menghormati segala jasa para guru tersebut.
Sambutan Hari Guru Malaysia diperkenalkan secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 1972 dan terus berkembang di semua peringkat.
Tarikh 16 Mei dipilih sebagai tarikh sambutan kerana pada 16 Mei 1956, Laporan Razak diterima oleh Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu.
Laporan tersebut menjadi asas pembentukan sistem pendidikan kebangsaan dengan menyatukan sistem pendidikan pelbagai kaum di Malaysia.
Sejak sambutan Hari Guru bermula dengan rasmi pada 1972, ia disambut secara berterusan sehingga kini di seluruh negara.
Dari awal lagi, sambutan Hari Guru diadakan di pelbagai peringkat termasuk peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.
Menurut sumber, cara sambutan Hari Guru yang pernah dilaksanakan termasuk perhimpunan khas yang diisi dengan bacaan perutusan daripada Menteri Pendidikan dan ucapan penghargaan kepada guru.
Disamping itu, diadakan juga persembahan pelajar seperti nyanyian, sajak, sketsa dan tarian serta penyampaian anugerah guru cemerlang peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
Pernah juga diadakan pertukaran hadiah kad ucapan, bunga dan hadiah simbolik selain aktiviti santai seperti sukaneka, jamuan dan program interaksi guru bersama pelajar.
Namun sebagai langkah berjimat, ada setengah aktiviti tersebut boleh dikecualikan, asalkan sambutan Hari Guru tetap berterusan.
Ini selaras dengan peranan para guru membentuk sahsiah pelajar, membina kemahiran masa depan, menyemai nilai perpaduan dan melahirkan tenaga kerja berkualiti.
Sememangnya guru ibarat lilin yang menerangi kegelapan dan pengorbanan besar mereka dalam mendidik generasi.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghormati dan mengenang jasa guru dengan menziarahi mereka terutama yang sudah uzur.
Ingatlah, tanpa bimbingan guru, tidak mungkin kita mampu berada diatas apa sahaja kejayaan yang sedang kita kecapi sekarang. –UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










