Kokurikulum membina jiwa mahasiswa

Kokurikulum membina jiwa mahasiswa

KOKURIKULUM bukan sekadar aktiviti tambahan tetapi ruang penting dalam membina kesejahteraan emosi mahasiswa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM wacana pendidikan tinggi, kesejahteraan emosi mahasiswa sering dikaitkan dengan beban akademik, tekanan tugasan dan persaingan prestasi. Namun, satu aspek penting yang sering terlepas pandang ialah latar belakang keluarga yang turut dibawa oleh mahasiswa ke kampus.

Tidak semua mahasiswa membesar dalam persekitaran keluarga yang stabil. Konflik rumah tangga, komunikasi yang lemah dan tekanan ekonomi membentuk pengalaman awal yang memberi kesan berpanjangan terhadap emosi mereka.

Data kesihatan mental belia turut menunjukkan peningkatan isu psikologi dalam kalangan golongan muda, sekali gus membuktikan kampus bukan sekadar ruang akademik tetapi juga ruang yang sarat dengan cabaran emosi.

Dalam konteks ini, kokurikulum memainkan peranan penting sebagai ruang sokongan sosial. Aktiviti ini tidak hanya berfungsi sebagai aktiviti sampingan tetapi turut menjadi medium pemulihan emosi bagi mahasiswa yang berdepan tekanan peribadi. Melalui penglibatan aktif, mahasiswa membina pengalaman baharu yang lebih positif dan teratur berbanding kehidupan peribadi mereka.

Selain itu, kokurikulum membantu membentuk identiti baharu mahasiswa. Mereka tidak lagi dilihat berdasarkan latar belakang keluarga, sebaliknya berdasarkan peranan dalam organisasi seperti pemimpin program atau ahli pasukan. Perubahan peranan ini membina keyakinan diri dan memperbaiki cara mereka melihat diri sendiri.

Dari sudut psikologi, penglibatan dalam kumpulan sosial menyumbang kepada rasa kepunyaan yang lebih kukuh. Rasa diterima dalam komuniti membantu mengurangkan tekanan emosi, terutamanya bagi mereka yang kurang mendapat sokongan di rumah. Dalam masa sama, aktiviti kokurikulum turut melatih mahasiswa mengurus masa, tanggungjawab dan membuat keputusan secara lebih tersusun, sekali gus meningkatkan rasa kawalan terhadap kehidupan mereka.

Penglibatan ini juga mengasah kemahiran komunikasi interpersonal. Mahasiswa belajar berinteraksi dengan pelbagai latar belakang, menyelesaikan konflik secara matang dan membina hubungan yang lebih sihat. Pengalaman ini membentuk daya tahan emosi serta meningkatkan keyakinan terhadap kebolehan diri.

Walau bagaimanapun, kokurikulum tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada sokongan profesional seperti kaunseling. Ia hanya berfungsi sebagai pelengkap dalam ekosistem sokongan emosi mahasiswa. Oleh itu, institusi pengajian tinggi perlu mengintegrasikan kokurikulum secara lebih strategik dengan sokongan emosi yang lebih menyeluruh.-UTUSAN

DIAN DANIEA ROY NIZAMHADYNATA & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN