SAYA meluahkan rasa kesal dan kecewa terhadap tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung bayar ganjaran kepada pemberi maklumat yang tidak dibayar mengikut amaun yang telah diluluskan.
Pada 2009, saya menyalurkan satu maklumat penting berkaitan penyelewengan cukai kastam yang melibatkan jumlah melebihi RM14 juta kepada Bahagian Penguatkuasaan di Pulau Pinang. Hasil daripada maklumat tersebut, pihak JKDM berjaya menyelesaikan kes berkenaan pada 2014 dan mengutip semula cukai berjumlah lebih RM12 juta.
Susulan itu, Ketua Pengarah JKDM meluluskan ganjaran kepada saya sebanyak RM950,000 pada 2016 sebagai penghargaan atas maklumat yang diberikan. Namun begitu, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang hanya membayar sebanyak RM650,000 sahaja, meninggalkan baki RM300,000 yang masih belum dijelaskan.
Saya telah mengemukakan rayuan berhubung perkara ini, namun malangnya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak JKDM.
Pada 2021, saya hadir ke ibu pejabat JKDM di Putrajaya dengan harapan dapat bertemu Ketua Pengarahnya untuk mendapatkan penjelasan, tetapi tidak dibenarkan.
Keadaan ini menimbulkan persoalan yang wajar dijawab oleh pihak berkaitan. Sehubungan itu, saya memohon penjelasan lanjut daripada JKDM mengenai perkara berikut:
- Di manakah baki wang sebanyak RM300,000 tersebut?
- Adakah benar wang tersebut telah digunakan untuk tujuan aktiviti penguatkuasaan?
- Adakah baki RM300,000 itu akan dibayar kepada saya seperti yang diluluskan, atau sebaliknya?
Saya berharap pihak JKDM dapat memberikan penjelasan yang telus dan adil berhubung isu ini, demi menjaga kepercayaan orang awam terhadap institusi penguatkuasaan. –UTUSAN
AMPOMA KECEWA
Pulau Pinang










