Jenayah remaja perlu dihukum atau dipulihkan?

Jenayah remaja perlu dihukum atau dipulihkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARAH yang tumpah di Jalan Kampung Padang Simah, Ketereh pada awal Mei, lalu bukan sekadar berita jenayah biasa. Penemuan mayat seorang remaja dengan 61 kesan tikaman yang didakwa dilakukan oleh rakan sebaya mengejutkan seluruh negara. 

Tragedi ini memaksa masyarakat berhenti sejenak dan bertanya, adakah sistem keadilan negara hari ini benar-benar cukup ampuh untuk menangani ‘raksasa’ yang muncul di sebalik wajah polos seorang remaja?

Hakikatnya, isu jenayah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Statistik dan pelbagai kes berprofil tinggi menunjukkan sebahagian generasi muda semakin terjerumus ke dalam kitaran jenayah pada usia yang sepatutnya digunakan untuk membina masa hadapan.

Jenayah remaja juga semakin kompleks. Kesalahan tidak lagi tertumpu kepada kecurian kecil atau vandalisme, sebaliknya melibatkan jenayah berat seperti keganasan, jenayah seksual dan pembunuhan.

Keadaan ini mewujudkan dilema besar kepada sistem keadilan negara. Adakah pesalah remaja perlu dihukum dengan tegas demi memberi pengajaran atau dipulihkan demi menyelamatkan masa hadapan mereka? Persoalan ini bukan sekadar isu undang-undang tetapi turut berkait dengan kegagalan institusi keluarga, tekanan sosial dan cabaran ekonomi yang semakin menghimpit masyarakat.

Apabila seorang remaja melakukan jenayah seberat pembunuhan, masyarakat biasanya terbahagi kepada dua kelompok. Satu pihak menuntut hukuman setimpal berasaskan prinsip pembalasan, manakala satu lagi mempertahankan pendekatan pemulihan dengan alasan jiwa muda masih boleh dibentuk. 

Namun, peningkatan statistik jenayah membuktikan naratif  ‘kenakalan remaja’ tidak lagi sesuai digunakan. Statistik Jenayah Malaysia 2025 menunjukkan Jenayah Indeks 2024 meningkat 11.1 peratus kepada 58,255 kes, manakala jenayah kekerasan meningkat 5.9 peratus. Angka ini menjadi isyarat jelas keganasan dalam kalangan belia semakin serius dan sistematik.

Justeru, sistem keadilan perlu menghantar mesej tegas yang usia muda bukan lesen untuk membunuh atau melakukan kekejaman. Namun dalam masa sama, undang-undang negara melalui Akta Kanak-Kanak 2001 masih melindungi pesalah bawah umur 18 tahun daripada hukuman mati. Peruntukan ini bertujuan memberi peluang kedua kepada remaja untuk dipulihkan. Persoalannya, adakah perlindungan itu masih relevan apabila jenayah dilakukan secara terancang dan penuh kekejaman?

Data Kementerian Pendidikan (KPM) pada Februari tahun ini mendedahkan sebanyak 3,570 kesalahan jenayah berlaku di sekolah sepanjang 2025. 

Di Kedah, kes buli pula melonjak 330 peratus dalam tempoh setahun. Situasi ini menunjukkan sekolah yang sepatutnya membentuk sahsiah kini berisiko menjadi ruang subur kepada budaya samseng jika tindakan awal tidak diambil. Apabila remaja melihat kesalahan kecil tidak diberi perhatian serius, mereka mula percaya undang-undang boleh dipermainkan.

Dalam mencari neraca keadilan yang seimbang, negara tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman semata-mata. Hukuman ringan tanpa pemulihan psikologi yang menyeluruh hanya menangguhkan masalah. 

Sistem keadilan perlu mengintegrasikan elemen keadilan restoratif supaya pesalah benar-benar memahami kemusnahan yang mereka cipta terhadap mangsa dan keluarga. Saringan kesihatan mental juga perlu diwajibkan dalam kes jenayah berat bagi mengenal pasti sama ada pesalah memerlukan rawatan psikiatri atau bertindak secara sedar dan sengaja.

Pada masa sama, masyarakat tidak boleh meletakkan sepenuhnya beban menangani jenayah remaja di bahu mahkamah. Jenayah dalam kalangan remaja ialah manifestasi kegagalan kolektif.

Konflik keluarga, pengabaian, tekanan hidup dan pengaruh media sosial menjadi antara faktor utama yang membentuk tingkah laku agresif remaja. Ibu bapa juga tidak boleh lagi  menyerahkan proses pendidikan anak kepada algoritma media sosial yang sering menormalisasikan keganasan dan budaya tanpa empati.

Institusi pendidikan pula perlu memainkan peranan lebih besar dalam membina nilai kemanusiaan. Pendidikan bukan sekadar mengejar pencapaian akademik tetapi membentuk disiplin, empati dan rasa hormat terhadap nyawa manusia.

Cabaran sebenar negara ialah mencari keseimbangan antara ketegasan dan peluang kedua. Sistem keadilan tidak boleh terlalu keras sehingga mematikan harapan pemulihan, namun tidak boleh terlalu lunak sehingga memperlekehkan nilai nyawa manusia. 

Tragedi di Ketereh harus menjadi loceng amaran terakhir sebelum lebih banyak masa hadapan musnah dan lebih banyak darah tumpah di tangan generasi muda yang bakal mewarisi negara. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. HALIZA ABDUL RAHMAN

Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan,

Institut Pengajian Sains Sosial,

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN