TIDAK dapat dinafikan bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mempunyai kekuatan akademik dan melahirkan pelajar yang berdisiplin serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Sijil itu juga diterima oleh beberapa universiti luar negara.
Namun realiti yang jarang disebut ialah ekosistem penerimaan UEC banyak tertumpu kepada negara atau institusi yang berkait rapat dengan bahasa dan sistem pendidikan Cina seperti China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Persoalan sebenar bukan sama ada pelajar UEC bijak atau tidak, tetapi sama ada Malaysia masih mempunyai keberanian untuk membina identiti nasional yang benar-benar bersatu.
Selama puluhan tahun, negara membiarkan sistem pendidikan berkembang secara terpisah melalui sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil. Akhirnya, anak-anak membesar dalam dunia yang berbeza lalu kita pula hairan mengapa jurang antara kaum semakin melebar dan hubungan semakin renggang.
Sejak kecil, anak-anak dipisahkan melalui sistem pendidikan, menggunakan bahasa harian yang berbeza, bergaul dalam kelompok sosial yang berlainan dan menyerap naratif sejarah serta budaya yang juga berlainan sejak usia muda lagi. Akhirnya membentuk cara fikir serta identiti yang sangat berbeza.
Bahasa pula bukan sekadar alat komunikasi. Bahasa ialah asas emosi sesebuah negara bangsa. Indonesia memahami perkara ini sejak awal. Walaupun mempunyai ratusan etnik dan bahasa daerah, mereka membina kesatuan nasional melalui bahasa Indonesia tanpa kompromi.
Orang Jawa, Batak, Sunda atau Bugis mungkin berbeza budaya, tetapi mereka tetap berkongsi satu kesedaran linguistik nasional yang sama.
Singapura sendiri memberi pengajaran penting. Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, tetapi bahasa Inggeris dan Mandarin mendominasi pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan mobiliti sosial harian.
Bahasa kebangsaan wujud secara rasmi dan simbolik, tetapi bukan semestinya menjadi bahasa jiwa yang benar-benar menyatukan masyarakat.
Malaysia perlu memutuskan sama ada Bahasa Melayu mahu benar-benar dihidupkan sebagai bahasa penyatu negara atau sekadar dipertahankan atas kertas dan dalam upacara rasmi. Dan sebab itulah perdebatan tentang UEC jauh lebih besar daripada isu peperiksaan semata-mata.
Hakikatnya, setiap negara, walau sepelbagai mana sekalipun, tetap memerlukan satu kerangka sivik utama yang menyatukan rakyat: Bahasa bersama, kefahaman nasional bersama dan pusat graviti kebangsaan yang jelas.
Tanpa itu, kepelbagaian akhirnya berubah menjadi kehidupan selari yang tidak mampu bertemu.
Ironinya, Malaysia mungkin akhirnya melahirkan generasi yang fasih Mandarin untuk perdagangan, fasih Inggeris untuk pasaran global, tetapi semakin longgar penguasaan dan hubungan emosinya dengan bahasa Melayu, bahasa yang sepatutnya menjadi penyatu bangsa.
Sebuah negara tidak boleh menyerahkan perpaduannya kepada nasib. Jika pengiktirafan lebih luas terhadap UEC mahu dipertimbangkan, ia mesti datang bersama syarat nasional yang tegas, penguasaan bahasa Melayu yang kukuh, pendidikan sejarah dan sivik Malaysia yang mantap, program integrasi antara sekolah yang benar-benar bermakna serta penegasan jelas bahawa bahasa Melayu kekal sebagai lingua franca nasional yang tidak boleh dipersoalkan.
Jika tidak, Malaysia berisiko menjadi sebuah negara di mana rakyatnya berkongsi lebuh raya, pusat beli-belah dan pilihan raya tetapi tidak lagi berkongsi jiwa kebangsaan yang sama.
Dan mungkin itulah hakikat yang ramai pemimpin nampak dengan jelas, tetapi masih belum cukup berani untuk disebut secara terbuka. – UTUSAN
PROFESOR SAID BANI C.M. DIN










