Ajar pelajar berfikir di dunia rumit

Ajar pelajar berfikir di dunia rumit

PENDIDIKAN tidak boleh hanya bertujuan menyediakan pelajar untuk peperiksaan tetapi mesti melatih mereka menghadapi kehidupan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang dipenuhi maklumat tanpa sempadan ini, cabaran utama guru hari ini bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu tetapi membantu pelajar memahami dan menilai ilmu dengan berkesan. 

Guru tidak lagi boleh hanya mengajar apa yang perlu difikirkan, sebaliknya mereka perlu melatih pelajar bagaimana untuk berfikir, seperti yang ditekankan dalam petikan terkenal oleh Margaret Mead, “Kanak-kanak perlu diajar cara berfikir, bukan apa yang perlu difikirkan.”

Dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI), maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat sahaja melalui telefon pintar dan peranti digital. Namun, kebolehan untuk menyoal, menganalisis dan menilai kesahihan maklumat kekal sebagai kemahiran manusia yang perlu dipupuk sejak awal.

Di Malaysia, keperluan ini semakin mendesak berdasarkan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022. Prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik, Sains dan bacaan masih berada di bawah purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). 

Begitu juga dalam pemikiran kreatif, hanya sebahagian kecil pelajar mencapai tahap tertinggi berbanding negara maju lain. Situasi ini tidak menggambarkan kekurangan bakat, sebaliknya menunjukkan sistem pendidikan masih terlalu menekankan penghafalan berbanding pemikiran kritis.

Walaupun dasar pendidikan negara  memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), namun pelaksanaannya dalam bilik darjah masih belum menyeluruh. Pelajar masih cenderung diberi penilaian berdasarkan jawapan betul, bukan keberanian untuk bertanya soalan yang baik. Akibatnya, pembelajaran menjadi satu proses pasif, bukan proses penerokaan aktif.

Pengajaran yang berkesan seharusnya memberi ruang kepada pelajar untuk berbincang, menganalisis, berdialog dan membuat refleksi. Guru boleh mengubah pendekatan dengan mengemukakan soalan yang mencabar pemikiran seperti sebab sesuatu peristiwa berlaku, kemungkinan alternatif dan pengajaran yang boleh diambil. 

Dalam subjek sains pula, pelajar perlu mereka bentuk eksperimen, menilai bukti dan membuat kesimpulan sendiri agar mereka benar-benar memahami proses saintifik.

Dalam dunia digital hari ini, keperluan pemikiran kritis menjadi lebih penting. Pelajar terdedah kepada pelbagai maklumat daripada media sosial dan teknologi AI, yang tidak semuanya tepat atau sahih. Tanpa kemahiran menilai, mereka mudah terpengaruh dengan maklumat yang salah.

Oleh itu, pendidikan tidak boleh hanya bertujuan menyediakan pelajar untuk peperiksaan tetapi mesti melatih mereka menghadapi kehidupan. Pemikiran kritis membolehkan mereka menilai isu dengan lebih adil, memahami pelbagai perspektif dan membuat keputusan yang lebih matang.

Akhirnya, tanggungjawab melahirkan pemikir kritis bukan hanya terletak pada guru tetapi juga ibu bapa, institusi pendidikan dan pembuat dasar.

Hanya dengan usaha bersama, Malaysia dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mampu berfikir secara bebas, rasional dan beradab dalam menghadapi cabaran masa hadapan. –UTUSAN

 

DR. NOR NAZRINA MOHAMAD NAZRY

Fakulti Pendidikan, 

Universiti Malaya 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN