KUALA LUMPUR: Aksi lincah Arif Aiman Hanapi akhirnya kembali menghiasi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang final Piala Malaysia menentang Kuching City FC, malam ini.
Kepulangan semula bintang sensasi Harimau Selatan itu pasti menjadi suntikan moral terbesar buat JDT yang memburu satu lagi trofi domestik di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Perkembangan itu disahkan sendiri pengendali JDT, Xisco Munoz yang memberi bayangan pemain sayap kebangsaan itu berpotensi diturunkan pada aksi final berkenaan.
“Saya sangat gembira kerana Arif kembali disenaraikan esok. Kami akan lihat sama ada dia boleh bermain untuk beberapa minit.
“Kita perlu faham bahawa Arif sudah lama tidak beraksi. Ia satu risiko yang tinggi buat kami jika Arif terus memulakan perlawanan esok,” katanya.
Beliau berkata, Arif perlu diberikan ruang yang secukupnya untuk mengembalikan tahap kecergasan perlawanan optimum sebelum kembali menggalas tugas berat.
“Arif pasti memerlukan lebih masa untuk pulih sepenuhnya dan mencapai tahap prestasi asalnya. Tetapi apa yang penting untuk perlawanan, nama Arif sudah ada dalam senarai pasukan,” ujarnya.
Arif Aiman diketepikan sejak November tahun lalu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili Harimau Malaya menentang Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027.
Situasi terbabit memaksa pemain berusia 24 tahun itu menjalani pembedahan hamstring bersama doktor sukan terkenal dunia, Lempainen Lasse di Finland.-UTUSAN










