AI penyebab kematian perlahan pemikiran kritis

AI penyebab kematian perlahan pemikiran kritis

LITERASI kecerdasan buatan (AI) mesti diperkukuh agar pengguna memahami keupayaan dan batasannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN seorang pelajar universiti menerima tugasan esei tentang perubahan iklim. Dia tidak lagi membaca jurnal, menganalisis data atau membina hujah sendiri. Sebaliknya, menaip arahan ringkas kepada ChatGPT dan dalam beberapa saat sebuah esei lengkap terhasil.

Dia hanya menyunting sedikit sebelum menghantar tugasan dan memperoleh markah cemerlang. Namun persoalan timbul, adakah dia benar-benar belajar atau sekadar menyerahkan proses berfikir kepada mesin?

Fenomena ini dikenali sebagai pemuatan luar kognitif, iaitu kecenderungan manusia memindahkan proses pemikiran kepada alat luaran. Ia bukan baharu.

Kalkulator menggantikan kiraan mental, Penentu Lokasi Global (GPS) menggantikan peta dan enjin carian menggantikan hafalan maklumat.

Namun kecerdasan buatan  (AI) generatif melangkah lebih jauh kerana mampu menulis, menganalisis, menaakul dan menyelesaikan masalah kompleks.

Perubahan ini menimbulkan persoalan penting tentang kesan jangka panjang terhadap keupayaan manusia berfikir, menilai dan memahami secara mendalam.

Kajian 2024 hingga 2026 menunjukkan trend yang membimbangkan. Kajian Michael Gerlich (2025) terhadap 666 responden mendapati penggunaan AI yang tinggi berkait dengan tahap pemikiran kritis yang lebih rendah, khususnya dalam kalangan usia 17 hingga 25 tahun.

MIT Media Lab memperkenalkan konsep ‘hutang kognitif’, apabila imbasan Pemeriksaan Neurofisiologi (EEG) menunjukkan aktiviti otak menurun ketika menulis dengan bantuan AI.

OECD Digital Education Outlook 2026 pula melaporkan ‘ilusi penguasaan palsu’ apabila pelajar menjawab lebih banyak soalan dengan betul semasa latihan tetapi gagal memahami konsep apabila AI tidak digunakan, malah prestasi mereka jatuh di bawah kumpulan yang tidak menggunakan AI.

Dalam pendidikan, kesannya semakin jelas. Jurang antara prestasi dibantu AI dan pembelajaran sebenar semakin melebar. Pelajar yang terlalu bergantung kepada AI kehilangan peluang membina pemikiran kritis dan daya analisis.

Kajian pengaturcaraan turut menunjukkan pengguna AI sepenuhnya mencatat skor lebih rendah berbanding kumpulan kawalan, tanpa mengira tahap kemahiran. Hal ini membuktikan pemuatan luar kognitif boleh melemahkan kemahiran sedia ada jika tidak dikawal dengan bijak.

Namun AI bukan musuh. Teknologi ini sudah menjadi sebahagian kehidupan moden. Kajian juga menunjukkan AI boleh meningkatkan pembelajaran jika digunakan secara strategik, khususnya untuk tugasan asas seperti semakan bahasa. Ini membebaskan ruang kognitif untuk analisis dan refleksi yang lebih mendalam. Maka persoalannya bukan sama ada AI harus digunakan tetapi bagaimana ia digunakan, sama ada untuk memperkukuh pemikiran atau menggantikannya.

Isu ini menuntut tindakan segera. Kurikulum pendidikan perlu direka semula supaya menuntut pemikiran mendalam yang tidak boleh dipintas AI.

Pengajaran juga perlu mewujudkan ‘geseran kognitif’ yang memaksa pelajar berfikir sebelum menerima bantuan. Literasi AI mesti diperkukuh agar pengguna memahami keupayaan dan batasannya. Akhirnya, setiap individu perlu sedar bahawa setiap penggunaan AI ialah pilihan sama ada melatih minda untuk kekal tajam, atau membiarkannya menjadi lemah akibat terlalu bergantung kepada mesin.-UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ MD. HANIF
Pengarah Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) & Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Penbangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN