KEPUTUSAN membeli kenderaan di Malaysia kini menjadi semakin kompleks. Kini pengguna perlu mempertimbangkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) yang sering digambarkan sebagai masa hadapan mobiliti negara.
Hakikatnya, walaupun pasaran EV menunjukkan pertumbuhan positif, namun kenderaan ini masih belum menjadi pilihan utama rakyat.
Data semasa menunjukkan EV hanya merangkumi sebahagian kecil daripada jumlah pendaftaran kenderaan baharu di negara ini. Ini bermakna majoriti pengguna masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman dan hibrid kerana faktor kebiasaan, kos dan kemudahan.
Pertumbuhan EV juga banyak disokong oleh insentif kerajaan. Kerajaan menyediakan pengecualian cukai, rebat serta pelbagai galakan dasar untuk merancakkan penggunaan EV. Tanpa insentif ini, harga EV masih berada di luar kemampuan sebahagian besar rakyat, khususnya golongan M40 dan B40.
Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada EV benar-benar diterima pasaran secara semula jadi atau masih bergantung kepada dorongan dasar.
Walaupun kerajaan menetapkan sasaran pembangunan ribuan stesen pengecas, namun pelaksanaannya masih belum mencapai tahap yang menyeluruh. Kebanyakan kemudahan tertumpu di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang, manakala kawasan luar bandar masih kekurangan akses.
etidakseimbangan ini mewujudkan jurang penggunaan yang ketara antara bandar dan luar bandar.
Kekurangan infrastruktur ini menyebabkan pengguna berdepan kebimbangan jarak perjalanan. Mereka meragui kemampuan untuk melakukan perjalanan jauh tanpa gangguan bekalan pengecas.
Secara keseluruhan, dasar EV yang dirangka oleh kerajaan menunjukkan hala tuju yang progresif. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan sebenar rakyat serta keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SALVINDER SINGH KARAM SINGH
Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina,
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia & Felo Bersekutu Pusat Penyelidikan Automotif (Car)










