PETALING JAYA: Kemelut politik di Negeri Sembilan akan menjadi lebih rumit sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.
Pengamal undang-undang Mohd. Hanif Hassan (gambar) berkata, jika pilihan raya diadakan ketika ini, isu adat yang menjadi akar permasalahan akan dipolitikkan parti-parti bertanding untuk meraih sokongan pengundi.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan sentimen rakyat menjadi lebih emosional berbanding rasional sekali gus mempengaruhi pertimbangan dalam membuat pilihan politik.
“Institusi adat di Negeri Sembilan mempunyai hubungan langsung dengan legitimasi sosial dan kestabilan politik, sekali gus menjadikannya sensitif apabila dibawa ke dalam arena politik pilihan raya.
“Institusi seperti Undang Luak dan Yang di-Pertuan Besar memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan serta keharmonian sistem adat negeri tersebut.
“Ini kerana, masyarakat akan menilai keupayaan kepimpinan politik dalam mengurus sensitiviti adat tanpa mencampuradukkan kepentingan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, PRN Negeri Sembilan berpotensi diadakan pada hujung tahun ini sebagai jalan penyelesaian kemelut politik semasa.
Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, ia dijangka diadakan serentak dengan Johor dan Melaka berdasarkan faktor tempoh matang DUN di dua negeri itu.
Sementara itu, tambah Mohd. Hanif, campur tangan politik dalam urusan adat boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi tradisi yang menjadi teras identiti Negeri Sembilan.
Katanya, kerajaan pada masa kini berada dalam keadaan yang amat tidak stabil dan berdepan risiko perubahan politik pada bila-bila masa apabila DUN bersidang.
“Keadaan itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada kemungkinan usul undi tidak percaya dikemukakan yang boleh menggugat kedudukan kerajaan sedia ada.
“Situasi tersebut menjadikan landskap politik negeri semakin tidak menentu dan memerlukan perhatian serius semua pihak, selain isu teras yang perlu segera diselesaikan bagi mengelakkan ketidakstabilan politik berterusan di peringkat negeri,” katanya.-UTUSAN.











