Nilai keikhlasan dua beradik cerminan generasi madani

Nilai keikhlasan dua beradik cerminan generasi madani

AESHA Khadeejah dan Uwais Al Qarni teruja menerima duit raya dan iPad daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELAGAT dua beradik, Aesha Khadeejah Anuar, 10 dan adiknya Uwais Al Qarni, 8, yang menyerahkan sampul berisi duit raya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menarik perhatian ramai.

Lebih menyentuh hati, wang tersebut sebenarnya disimpan oleh mereka untuk perbelanjaan sekolah masing-masing.

Perdana Menteri sendiri menghargai keikhlasan dua beradik itu dengan memberikan sumbangan berupa tablet, buku Iqra, wang tunai dan beg sekolah sebagai tanda penghargaan. Namun, yang lebih penting daripada hadiah tersebut ialah nilai murni yang terserlah melalui tindakan spontan mereka yang jarang dilihat dalam kalangan kanak-kanak seusia itu.

Peristiwa kecil ini membawa mesej besar tentang pembentukan generasi madani yang beradab, penyayang dan berjiwa besar. Antara nilai utama yang dapat dicontohi ialah keikhlasan dalam memberi. Walaupun jumlah wang itu kecil dan dikumpul untuk kegunaan sendiri, mereka tetap berkongsi rezeki tanpa mengharapkan sebarang balasan. Hal ini membuktikan nilai sesuatu pemberian terletak pada niat, bukan pada jumlah atau nilai materialnya.

Selain itu, mereka turut menzahirkan kasih sayang sesama insan. Walaupun kepada seorang pemimpin negara, mereka menunjukkan penghargaan dengan cara yang sederhana tetapi penuh makna.

Tindakan ini membuktikan kasih sayang tidak terikat kepada pangkat atau kedudukan seseorang, sebaliknya boleh dizahirkan kepada sesiapa sahaja tanpa batasan.

Dalam masa sama, tindakan mereka juga mencerminkan adab dan rasa hormat kepada pemimpin negara. Nilai ini lahir daripada didikan awal keluarga yang menekankan kepentingan menghormati orang lain, selaras dengan nilai teras masyarakat madani yang menitikberatkan kesopanan dan budi pekerti.

Lebih menarik, mereka turut menunjukkan sifat pemurah pada usia yang sangat muda. Lazimnya kanak-kanak menerima duit raya daripada orang dewasa tetapi mereka memilih untuk memberi. Perubahan peranan ini membuktikan sifat pemurah bukan bergantung pada usia atau kemampuan kewangan, sebaliknya boleh dibentuk melalui didikan dan teladan yang baik.

Keberanian mereka juga wajar dipuji kerana tidak semua kanak-kanak mampu berhadapan dengan seorang Perdana Menteri. Keyakinan ini menunjukkan mereka dibesarkan dalam persekitaran yang positif, yang membantu membina jati diri dan keberanian untuk berinteraksi secara yakin dengan masyarakat.

Kisah ini mengingatkan kita anak-anak ibarat kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapa. Didikan keluarga yang baik telah membentuk mereka menjadi insan yang berakhlak mulia, penyayang dan menghormati orang lain dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks lebih luas, keluarga kekal sebagai institusi pendidikan awal yang paling penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Nilai yang diterapkan di rumah akan membentuk cara mereka berfikir, bertindak dan berinteraksi apabila dewasa kelak.

Kajian juga menunjukkan persekitaran keluarga yang penuh kasih sayang dan sokongan emosi dapat meningkatkan tahap empati serta keseimbangan emosi kanak-kanak.

Akhirnya, kisah Aesha Khadeejah dan Uwais Al Qarni menjadi simbol harapan bahawa nilai murni masih subur dalam generasi muda hari ini.

Dalam dunia moden yang semakin dipengaruhi budaya digital dan individualistik, tindakan mereka menjadi peringatan bahawa keikhlasan, adab dan kasih sayang masih wujud serta perlu terus dipupuk. Ia juga membuktikan perubahan besar dalam masyarakat boleh bermula daripada tindakan kecil yang lahir dari hati yang bersih. –UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat),
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK),
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN