SAYA ingin mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyatakan orang Melayu akan lemah jika tidak bersatu.
Dalam Mingguan Malaysia bertarikh 26 April lalu, beliau berkata, “sangat penting kerana negara kita masih majmuk. Jika kita tidak bersatu, kita akan menjadi lemah.
“Contohnya, apabila orang Melayu berpecah, seperti antara UMNO dan Pas, ia memberi kesan kepada kekuatan politik Melayu. Dalam konteks persepsi dan sentimen politik, ada yang melihat pendekatan tertentu sebagai eksklusif tetapi dalam realiti pembentukan kerajaan, ia memerlukan keseimbangan dan kerjasama.
“Namun, jika orang Melayu bersatu, ia menjadi kekuatan yang besar dan tidak mudah dipinggirkan. Sebab itu, penyatuan orang Melayu amat penting. Jika kita mahu terus relevan, mempertahankan maruah bangsa, agama Islam dan bahasa Melayu, orang Melayu perlu bersatu dalam satu kerangka yang kukuh.”
Kenyataan ini pada asasnya wajar disokong kerana perpaduan memang menjadi kunci kekuatan sesuatu bangsa.
Namun begitu, perkara yang lebih utama ialah ketegasan untuk tidak sama sekali bersekongkol dengan mana-mana pihak yang boleh menjejaskan prinsip perjuangan politik Melayu. Kita tidak mahu agenda politik Melayu akhirnya terhakis atau terpaksa dikompromi sehingga menjejaskan matlamat asal perjuangan. Perpecahan dan percaturan politik yang tidak berprinsip hanya akan membawa kepada kelemahan dan kerugian jangka panjang.
Pada masa sama, perlu diingat kita adalah umat Islam. Sama ada dalam politik mahupun kehidupan seharian, setiap tindakan tetap terikat dengan soal dosa dan pahala. Oleh itu, adalah diharapkan agar pada masa akan datang, kepentingan politik tidak diletakkan melebihi keutamaan agama.
Percayalah dan yakinlah kepada Allah serta ajaran Islam, kerana seluruh perjalanan hidup ini berada di bawah kekuasaan-Nya yang Maha Berkuasa.-UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang










