PUCHONG: Penyanyi,Aweera menafikan mempunyai niat tersirat apabila berkongsi lukisan wajah pelakon, Siti Khadijah Halim di media sosial baru-baru ini yang turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Menurut Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissham,35, perkongsian tersebut dibuat semata-mata kerana rasa kagum terhadap bakat lakonan pelakon terbabit selain minat mendalamnya terhadap seni lukis.
Katanya, dia juga tidak mempunyai hubungan rapat mahupun komunikasi peribadi dengan pelakon berkenaan seperti yang diperkatakan segelintir pihak.
“Tidak, saya hanya mengucapkan selamat hari lahir kepadanya. Kami tidak mempunyai sebarang hubungan atau komunikasi. Saya meminati bakat Siti Khadijah dan sering menonton drama lakonannya.
“Memandangkan saya meminati seni lukis dan penulisan lirik, saya mendapat idea untuk melukis wajahnya dan kebetulan waktu itu adalah hari lahir dia. Jadi saya kongsikan sahaja.
“Dia pun tidak membalas komen tersebut dan itu adalah haknya. Saya hanya mengagumi bakat dan keterampilan dia sebagai pelakon pelapis yang hebat. Tiada isu apa-apa antara kami,” katanya.
Aweera berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Konsert Trilogi di Ibu Pejabat Rusa Marketing Sdn Bhd di sini, semalam.
Terdahulu, tindakan Aweera memuat naik lukisan wajah pelakon itu di media sosial mengundang perhatian ramai sehingga ada yang membuat andaian mengenai hubungan mereka.
Dalam perkembangan lain, Aweera turut meluahkan keterujaannya menjelang penganjuran konsert Trilogi yang bakal menghimpunkan dirinya bersama Aepul Roza dan Fiq Halim.
Menurut penyanyi itu, konsert berkenaan menjadi satu pencapaian bermakna memandangkan lagu Selamatkan Aku yang menjadi titik pertemuan mereka sudah hampir sedekad dihasilkan.
“Konsert Trilogi ini merupakan satu pembaharuan bagi saya dan juga sahabat-sahabat seperjuangan. Terima kasih kepada Aepul kerana merealisasikan impian kami.
“Jika diikutkan, lagu Selamatkan Aku sudah berusia hampir 10 tahun, bermula sejak rakaman pada 2017. Kini, barulah impian untuk mengadakan konsert bagi lagu ini tercapai, yang melibatkan saya, Aepul Roza dan Fiq Halim.
“Saya berasa sangat teruja kerana ini merupakan konsert pertama kami. Insya-Allah, ini baru fasa pertama dan kami berharap akan ada fasa kedua serta ketiga pada masa hadapan. Doakan yang terbaik buat kami,” katanya.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra, UPM Serdang ini dijangka menjadi pengalaman muzik yang luar biasa dengan kapasiti terhad seramai 1,000 penonton.
Tiket konsert Trilogi ditawarkan dalam tiga kategori utama iaitu VIP berharga RM289 (terhad) kepada 100 pemegang tiket) yang turut merangkumi sesi Meet & Greet eksklusif, diikuti kategori Normal pada harga RM189, serta kategori Standing berharga RM99.
Peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi di www.trilogi.uberticket.asia.










