SAYA masih dalam proses menyiapkan sebuah buku dengan judul sementara, Misteri Kehilangan Enrique @ Panglima Awang di Pulau Cebu – Manusia Pertama Mengelilingi Dunia.
Penulisan buku ini kini hampir ke penghujung, sekitar lima peratus terakhir, hanya melibatkan penulisan semula pengenalan dan penghargaan. Namun, siapa yang akan menulis kata pengantar masih belum dapat saya putuskan.
Apabila menjelang 1 Mei lalu, saya terdorong untuk menelusuri semula satu peristiwa besar dalam sejarah bangsa Melayu yang berlaku 505 tahun lalu, iaitu pada 1 Mei 1521.
Peristiwa ini jarang diperkatakan secara meluas, malah kepentingan tarikhnya masih belum benar-benar disedari umum.
Ia berkait rapat dengan seorang tokoh Melayu yang saya takrifkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang Abad ke-16, selain Tun Sri Lanang yang sezaman, iaitu penyusun Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Minat saya terhadap watak Panglima Awang atau nama asalnya dalam catatan pelayar Itali, Antonio Pigafetta sebagai Enrique de Malaca, bermula pada 2003. Ketika itu, saya diundang menghadiri seminar mengenai tokoh ini anjuran Universiti Islam Melaka.
Namun, perbincangan masih banyak bergantung kepada karya sastera Cikgu Harun Aminurrashid.
Selepas itu, saya turut menghasilkan skrip teater yang dipentaskan pada 2016 oleh Alumni Kelab Teater Rimba bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, bertajuk Pelayaran Panglima Awang.
Pementasan ini membuka ruang minat yang lebih mendalam untuk saya meneliti tokoh luar biasa ini secara lebih serius.
Kajian ini membawa saya memahami Panglima Awang hidup dalam zaman peralihan yang sangat genting, ketika dunia Melayu mula berhadapan dengan gelombang kolonialisme yang keras.
Berdasarkan catatan Ferdinand Magellan sendiri, Enrique atau Awang berasal dari Melaka. Beliau ditawan ketika serangan Portugis terhadap Melaka pada Ogos 1511, lalu menjadi antara tawanan perang yang kemudian dipilih oleh Alfonso d’Albuquerque untuk dihadiahkan kepada Magellan.
Magellan menamakannya Enrique sempena nama seorang raja di Sepanyol yang beliau kagumi.
Sejak 1512 hingga kematian Magellan di tangan Lapu-Lapu pada 17 April 1521 di Pulau Mactan, Enrique berkhidmat sebagai pembantu peribadi yang setia.
Sebelum pelayaran ke Timur dimulakan pada September 1519, Magellan telah meninggalkan wasiat yang jelas bahawa Enrique perlu dibebaskan sekiranya beliau meninggal dunia, serta diberikan saguhati sebanyak 10,000 maravedis.
Namun, selepas kematian Magellan, Enrique tidak dibebaskan oleh Duarte Barbosa yang mengambil alih kepimpinan, bahkan diperlakukan dengan kasar sehingga menimbulkan kemarahan beliau.
Pada 1 Mei 1521, sebelum Armada Maluku meninggalkan Pulau Cebu, Raja Humabon telah mengadakan jamuan perpisahan yang mewah untuk anak-anak kapal Portugis.
Ketika mereka leka menikmati hidangan dan minuman memabukkan, berlaku serangan mengejut yang mengorbankan 24 anak kapal bersama Duarte Barbosa.
Dalam kekecohan itu, Enrique menghilangkan diri bersama Raja Humabon, manakala dua orang anak kapal yang lebih awal diarahkan kembali ke kapal terselamat daripada peristiwa berdarah tersebut.
Kejadian ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan anak kapal yang terselamat, yang mengesyaki Enrique memainkan peranan penting bersama Raja Humabon.
Namun dari sudut lain, 1 Mei 1521 mungkin menjadi detik pembebasan bagi Enrique, membuka laluan untuk beliau kembali ke Melaka.
Jika demikian, beliau berhak diangkat sebagai manusia pertama yang mengelilingi dunia, sedangkan Juan Sebastian del Cano hanya tiba di pelabuhan asal pada September 1522, iaitu setahun empat bulan kemudian. – UTUSAN
PROFESOR EMERITUS DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)










