KONFLIK geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan yang meluas terhadap kestabilan global, khususnya dalam aspek ekonomi, keselamatan tenaga dan kesejahteraan sosial.
Dalam konteks ini, generasi muda tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pasif, sebaliknya perlu memainkan peranan aktif dalam memahami dan menghadapi kesan konflik tersebut. Mereka perlu bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan sikap bagi mengurus cabaran ekonomi serta sosial yang timbul akibat ketidaktentuan global.
Dari sudut ekonomi, peperangan ini mendorong kenaikan harga minyak dunia yang ketara, sekali gus meningkatkan kadar inflasi global. Kenaikan kos tenaga turut memberi kesan langsung kepada harga makanan, pengangkutan dan keperluan asas harian. Selain itu, gangguan terhadap eksport tenaga dan baja turut mengancam keselamatan makanan dunia, khususnya di negara membangun yang bergantung kepada import.
Situasi ini memberi tekanan besar kepada generasi muda dari segi kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kestabilan kewangan masa hadapan.
Oleh itu, generasi muda perlu memperkukuh literasi kewangan dan ekonomi. Mereka perlu memahami konsep asas seperti inflasi, kadar faedah, kuasa beli dan pengurusan hutang bagi membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kemahiran merancang bajet, menyimpan dan melabur secara asas menjadi semakin penting untuk membina daya tahan kewangan individu.
Dalam masa sama, perubahan gaya hidup turut memainkan peranan penting. Generasi muda perlu mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dengan mengurangkan pembaziran, menggunakan pengangkutan awam serta menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Amalan ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan terhadap sumber tenaga global, malah menyumbang kelestarian alam sekitar dalam jangka panjang.
Selain itu, era digital menuntut generasi muda memiliki kemahiran literasi media yang tinggi. Penyebaran maklumat mengenai konflik melalui platform seperti media sosial sering bercampur antara fakta dan propaganda. Oleh itu, mereka perlu bijak menilai kesahihan sumber, mengelakkan penyebaran berita palsu serta memahami konteks sesuatu isu secara kritikal agar tidak mudah dipengaruhi naratif berat sebelah.
Generasi muda juga boleh memainkan peranan melalui penglibatan dalam aktiviti kemanusiaan dan advokasi keamanan. Penyertaan dalam kempen kesedaran, sumbangan dana serta program sukarelawan melalui organisasi antarabangsa dapat membantu meringankan beban mangsa konflik. Namun, penglibatan ini perlu disertai dengan kefahaman yang mendalam agar tidak terjebak dalam tindakan simbolik tanpa impak sebenar.
Di samping itu, pemahaman terhadap hubungan antarabangsa juga penting bagi membolehkan generasi muda menilai konflik secara lebih menyeluruh.
Konflik Iran–AS bukan sekadar isu politik semasa tetapi melibatkan faktor sejarah, ekonomi dan kuasa global yang kompleks. Pendedahan kepada bidang ini membantu membentuk pemikiran kritis serta mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan pandangan yang sempit.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, generasi muda juga perlu meningkatkan kemahiran masa hadapan seperti teknologi digital, analisis data dan keusahawanan. Kemahiran ini membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran kerja serta meningkatkan daya saing dalam ekonomi global yang semakin mencabar.
Dengan pendekatan holistik dan berasaskan ilmu, mereka bukan sahaja mampu menghadapi cabaran semasa tetapi berpotensi menjadi ejen perubahan dalam membina dunia yang lebih stabil, sejahtera dan berdaya tahan pada masa hadapan.-UTUSAN
ROSAMIZA MEOR RAZAK
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah










