KANGAR: Lapan buah rumah musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran berlaku di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.38 pagi.
Katanya, susulan itu, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis bersama BBP Kangar digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu kerja-kerja pemadaman kebakaran itu.
“Operasi pemadaman turut dibantu oleh 30 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Simpang Empat, Padang Besar, Kuala Perlis dan Pauh bersama seorang anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB),” katanya di sini, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kebakaran terbabit melibatkan sebanyak lapan buah rumah kediaman.
Ujarnya, selain itu, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah motosikal yang hangus dijilat api.
“Pasukan penyelamat berjaya mengawal api kebakaran daripada merebak sekitar pukul 4.40 pagi dan kerja pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 8.13 pagi,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan buat mana-mana mangsa terlibat dan pasukan forensik JBPM juga sedang menjalankan kerja-kerja siasatan di lokasi bagi mengetahui punca kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN










