PRN Johor: Pilih calon mudah didekati, beri khidmat terbaik - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pilih calon mudah didekati, beri khidmat terbaik

Azalina Othman Said
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang perlu memilih calon yang bukan sahaja mudah didekati dan kerap turun padang, tetapi juga individu yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penilaian terhadap calon-calon yang akan dikemukakan semua parti bertanding boleh dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing, sebelum ini.

“Kalau pilih wakil rakyat yang tidak berada di kawasan dan lebih kerap berada di tempat lain, sudah tentu rakyat sukar mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

“Harapan saya ialah kalau boleh kita kekalkan calon-calon yang sebelum ini, dan juga orang yang muda,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman di Pengerang, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Pengerang itu, ahli dan penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN) di Johor perlu memberi sokongan terhadap pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menerajui negeri ini.

“Sebagai ahli parti, wajib kena yakinlah BN mampu menang dua pertiga, insya-Allah. Mungkin keyakinan itu berbeza di Johor dengan di Negeri Sembilan.

“Tapi untuk Johor, saya cukup yakin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN