KEMALANGAN jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk bukanlah isu baharu, sama ada di Malaysia mahupun di negara lain. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, kes seperti ini didapati semakin meningkat dan seolah-olah menjadi kejadian harian yang membimbangkan.
Hampir setiap hari, ada sahaja laporan kemalangan yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.
Situasi ini menuntut tindakan tegas daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan untuk memperkukuh penguatkuasaan serta memperketat hukuman.
Hukuman yang dikenakan perlu lebih berat, khususnya apabila kesalahan tersebut menyebabkan kecederaan serius atau kematian. Pesalah wajar dikenakan kompaun serta-merta dengan kadar minimum RM5,000 dan maksimum sehingga RM100,000 jika didapati memandu dalam keadaan mabuk berdasarkan ujian alkohol, terutama apabila kemalangan mengakibatkan kehilangan nyawa.
Selain itu, cadangan kompaun boleh dipertimbangkan berdasarkan jumlah mangsa yang terkorban, misalnya RM10,000 bagi setiap nyawa yang hilang.
Dalam masa sama, hukuman penjara juga perlu dilaksanakan dengan kadar yang lebih tegas, contohnya sekurang-kurangnya satu tahun penjara bagi setiap jumlah kompaun yang gagal dijelaskan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan kompaun ini tidak seharusnya menghalang proses siasatan dan pesalah tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada termasuk undang-undang jenayah dan sivil.
Bagi kes yang melibatkan warga asing, tindakan lebih tegas juga boleh diambil seperti penghantaran pulang ke negara asal sekiranya tidak melibatkan prosiding mahkamah. Namun, jika kes masih dalam proses perbicaraan, mereka wajar ditahan lebih lama sehingga keputusan mahkamah dibuat bagi memastikan keadilan kepada mangsa.
Dalam masa sama, pendekatan lebih drastik turut dicadangkan, iaitu dengan mewujudkan kawasan khas untuk penjualan dan pengambilan minuman keras yang jauh daripada kawasan awam, seperti di pulau atau lokasi terpencil. Langkah ini bertujuan mengasingkan persekitaran pengambilan alkohol daripada masyarakat umum, sekali gus mengurangkan risiko pemandu mabuk berada di jalan raya.
Individu yang berada di kawasan tersebut hanya dibenarkan keluar selepas tahap alkohol dalam badan kembali normal.
Walaupun cadangan ini mungkin dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak, namun keselamatan orang awam perlu diutamakan berbanding kepentingan individu. Kehilangan nyawa akibat pemandu mabuk tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan lebih berani serta berkesan daripada semua pihak.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










