Seimbangkan teknologi dalam pendidikan

Seimbangkan teknologi dalam pendidikan

KECERDASAN buatan (AI) boleh mempercepatkan proses pembelajaran tetapi hanya manusia yang mampu memberikan makna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar inovasi teknologi tetapi menjadi sebahagian daripada infrastruktur baharu dalam kehidupan manusia.

Pada masa kini, pelajar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada buku teks, guru atau nota kuliah. Mereka mengakses sistem pintar seperti ChatGPT, Gemini dan pelbagai aplikasi pembantu pembelajaran yang mampu menjana jawapan dalam beberapa saat.

Laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2023 menunjukkan lebih 50 peratus pelajar di seluruh dunia menggunakan sekurang-kurangnya satu bentuk AI dalam pembelajaran.

Di Malaysia pula, kadar penembusan internet yang tinggi menjadikan akses kepada teknologi ini semakin meluas tanpa batasan.

Sistem ini membolehkan pelajar yang lemah menerima penjelasan lebih mudah, manakala pelajar maju memperoleh bahan yang lebih mencabar.

Pendekatan ini selari dengan teori konstruktivisme yang menekankan pembelajaran aktif melalui pembinaan makna.

Kajian McKinsey menunjukkan teknologi digital berupaya meningkatkan produktiviti pembelajaran sehingga 30 peratus, sekali gus memperkukuh keberkesanan sistem pendidikan.

Namun begitu, di sebalik manfaat tersebut, wujud cabaran besar terhadap struktur kognitif pelajar. Apabila jawapan diperoleh dengan terlalu mudah, proses berfikir yang mendalam menjadi semakin berkurang.

Pelajar tidak lagi melalui proses mencabar untuk memahami sesuatu konsep secara kritikal. Fenomena ini berkait dengan konsep pemuatan luar kognitif iaitu kecenderungan manusia menyerahkan beban pemikiran kepada teknologi.

Walaupun pendekatan ini meningkatkan kecekapan jangka pendek, namun kesan jangka panjang terhadap pemikiran kritis masih membimbangkan.

Kajian psikologi kognitif menunjukkan pembelajaran mendalam memerlukan usaha mental yang konsisten. Tanpa proses tersebut, pemahaman pelajar menjadi cetek dan mudah dilupakan.

Dalam masa sama, isu integriti akademik turut timbul apabila AI digunakan untuk menghasilkan tugasan lengkap tanpa pemahaman sebenar.

Bahkan, guru tidak lagi menjadi sumber utama pengetahuan, sebaliknya berperanan sebagai fasilitator dan pembimbing. Perubahan ini menuntut guru menguasai teknologi serta membimbing pelajar menggunakan AI secara beretika dan kritikal. Tanpa penyesuaian pedagogi, transformasi ini boleh menjejaskan keberkesanan pengajaran.

Di Malaysia, cabaran ini menjadi lebih kompleks kerana wujud jurang digital dalam kalangan pelajar. Walaupun akses internet meluas, tahap literasi digital masih tidak seimbang. Jika tidak ditangani, AI berpotensi memperluaskan jurang pendidikan antara pelajar.

Oleh itu, pendekatan strategik diperlukan melalui garis panduan etika, latihan guru serta integrasi AI dalam kurikulum secara sistematik. Pendidikan juga perlu menilai proses pemikiran, bukan sekadar hasil akhir.

Akhirnya, masa depan pendidikan bergantung pada keseimbangan antara teknologi dan kemanusiaan. AI boleh mempercepatkan proses pembelajaran tetapi hanya manusia yang mampu memberikan makna. –UTUSAN

AUNI FARZANA JAFFERI & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN