Aminuddin mahu 80 peratus keluar mengundi - Utusan Malaysia

Aminuddin mahu 80 peratus keluar mengundi

AMINUDDIN Harun ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di Karisma Arena Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) mahu jumlah keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini mencecah 80 peratus.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah pengundi yang tinggi itu kelak adalah sebagai ‘hukuman’ kepada pihak yang didakwanya telah mengkhianati mandat rakyat.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, ekoran pengkhianatan itu beliau terpaksa membubarkan DUN pada 5 Jun lalu ketika negeri ini sedang giat dibangunkan.

“Kita tidak mahu hanya sekitar 70 peratus keluar mengundi. Kita mahu 80 peratus keluar mengundi.

“Inilah peluang kita, inilah masa kita tunjukkan kepada mereka. Kita mahu pengundi mengajar mereka, kita mahu masyarakat mengajar mereka.

“Kita mahu mereka faham apa itu demokrasi, apa itu kesatuan dan apa itu perpaduan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di Karisma Arena di sini hari ini.

Aminuddin menambah, rakyat Negeri Sembilan tidak seharusnya menerima tindakan pihak yang mengkhianati kepercayaan serta perpaduan yang dibina sepanjang dua penggal pentadbiran kerajaan negeri.

“Ketika kita sedang laju membangunkan negeri, kita terpaksa berhenti sebentar untuk mencari semula mandat rakyat.

“Sedang kita memacu ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan sosial, kita telah dihianati. Sebab itu saya berharap rakyat dapat membuat penilaian sewajarnya pada hari pengundian nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mengakui terperanjat apabila PRN Negeri Sembilan tidak diadakan serentak dengan PRN di Johor.

Bagaimanapun, beliau percaya terdapat hikmah di sebalik keputusan tersebut dan yakin jentera parti mampu menyesuaikan strategi bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Walaupun kita agak tersentak apabila pilihan raya ini tidak bersama dengan pilihan raya di Johor, saya yakin ada hikmah di sebaliknya.

“Saya percaya kita boleh melaksanakan gerak kerja yang lebih baik dan menggunakan peluang ini untuk memperkukuhkan sokongan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan ahli parti supaya tidak mengkhianati parti sekiranya individu yang diinginkan tidak terpilih menjadi calon.

“Kita tidak boleh mengkhianati parti hanya kerana mempertimbangkan kepentingan peribadi seseorang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN