Litar permotoran bernilai RM20 juta di Perlis, bakal dibina di Chuping - Utusan Malaysia

Litar permotoran bernilai RM20 juta di Perlis, bakal dibina di Chuping

ABU Bakar Hamzah (enam dari kiri) bergambar bersama selepas mengadakan perbincangan bagi pembangunan litar di Chuping, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebuah litar pemotoran baharu bernilai RM20 juta bakal dibangunkan di negeri ini menerusi kerjasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan sebuah syarikat permotoran, ESR Motor.

Pembangunan litar itu berpotensi bagi memperkukuh pembangunan sektor sukan permotoran di samping merancakkan aktiviti ekonomi negeri.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, projek itu bakal dibangunkan di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA), Padang Besar, dengan melibatkan keluasan tanah kira-kira 33 ekar.

“Kerja-kerja pecah tanah bagi pelaksanaan projek ini dijangka bermula menjelang Ogos depan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, pembangunan litar itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan pemotoran moden dan mempunyai laluan lurus sepanjang kira-kira 1.3 kilometer.

Menurutnya, projek dengan nilai pelaburan RM20 juta itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas pembinaan dimulakan.

“Pelaksanaan projek ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pemotoran di Perlis selain membuka peluang kepada penganjuran aktiviti dan acara berkaitan pada masa hadapan,” katanya.

Ujar Abu Bakar, pembangunan projek itu turut dapat merangsang sektor pelancongan sukan dan mewujudkan limpahan ekonomi buat komuniti setempat.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu juga berpotensi memperluas lagi penyertaan golongan muda dalam bidang pemotoran.

“Kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta bagi membangunkan litar ini bakal memberi banyak impak dan manfaat khususnya buat anak muda,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN