GENERASI muda berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat.
Antara isu yang kian membimbangkan ialah kecenderungan sebahagian mereka memisahkan ajaran agama daripada kehidupan seharian.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut ketara di negara-negara Barat, khususnya di Eropah.
Statistik menunjukkan antara 40 hingga 60 peratus generasi muda di beberapa negara Eropah tidak lagi berafiliasi dengan agama, manakala jumlah individu tidak beragama mencecah kira-kira 190 juta orang.
Di United Kingdom (UK) pula, hanya sekitar 28 peratus golongan muda masih mengaku menganut agama. Perkembangan ini jelas menggambarkan agama semakin terpinggir dalam arus kehidupan moden.
Dalam perspektif Islam, manusia tidak dapat memisahkan kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat. Setiap tindakan yang dilakukan di dunia memberi kesan terhadap kehidupan di akhirat serta keberkatan hidup secara keseluruhan. Oleh itu, pendidikan agama Islam bukan sekadar cabang ilmu, sebaliknya menjadi asas panduan hidup yang menyeluruh.
Pendidikan ini membentuk akhlak, adab dan nilai murni yang kekal relevan walaupun zaman dan teknologi terus berubah.
Pendidikan agama yang disepadukan dengan nilai akhlak mampu melahirkan masyarakat yang maju dan dihormati.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuh pendidikan agama dalam sistem pendidikan. Kedudukan ini bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan peranan Islam sebagai asas pembentukan nilai masyarakat. Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan agar generasi muda tidak terputus daripada akar nilai dan jati diri mereka.
Namun begitu, realiti hari ini menunjukkan sebahagian anak muda semakin menjauhi ajaran agama. Pengaruh media sosial, budaya hedonisme serta kekurangan contoh teladan dalam keluarga dan masyarakat menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini.
Dalam banyak keadaan, pendidikan agama hanya difahami secara teori tanpa diterjemahkan dalam amalan kehidupan seharian. Keadaan ini mewujudkan jurang antara ilmu yang dipelajari dengan penghayatan sebenar dalam kehidupan.
Bagi menangani isu ini, masyarakat perlu menerapkan nilai agama secara praktikal dalam kehidupan generasi muda. Nilai seperti kejujuran dalam setiap urusan, amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan hormat kepada ibu bapa, guru serta masyarakat perlu dipupuk sejak awal.
Selain itu, nilai kesederhanaan, disiplin diri dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan juga harus dibentuk secara konsisten. Nilai-nilai ini bukan sahaja melahirkan individu berakhlak mulia, malah menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.-UTUSAN
DR. ASZLAN SELAMAT
Pensyarah Kanan,
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun
dan Falsafah (SLCP),
Universiti Utara Malaysia (UUM)










