Pandang serius isu keselamatan dalam sekolah

Pandang serius isu keselamatan dalam sekolah

MENJADI tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat dan sihat kepada semua guru, kakitangan, pelajar dan pelawat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASPEK keselamatan di dalam kawasan sekolah tidak boleh sesekali dipandang ringan oleh mana–mana pihak. Terdapat beberapa kes kemalangan yang berlaku di kawasan sekolah serta yang berlaku dibawah penyeliaan pihak sekolah semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Untuk mengelakkan perkara ini dari berterusan berlaku, adalah penting untuk pihak jabatan pendidikan, pihak pengurusan sekolah, pengetua, guru besar, para guru, serta pihak keselamatan yang berada di sekolah terbabit memastikan aspek kesalamatan dan kesihatan para pelajar di sekolah masing–masing sentiasa terjaga dan terjamin sepanjang masa. Sebagai sebuah tempat kerja, sekolah juga tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514]. 

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], sekolah juga boleh dikategorikan sebagai salah sebuah tempat kerja, yang terdiri daripada guru, kakitangan sekolah, dan juga pelajar. Sementara pihak pengurusan sekolah ataupun Jabatan Pendidikan boleh diklasifikasikan sebagai ‘majikan’ kepada sekolah. Di sini, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan sekolah untuk memastikan sekolah menjadi suatu tempat yang selamat dan sihat kepada semua guru, kakitangan, pelajar dan pelawat, baik dari segi keselamatan dan juga kesihatan. 

Terdapat pelbagai usaha telah diambil oleh pihak yang berkaitan dalam negara kita untuk terus memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar disekolah terus terpelihara. Misalnya, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang telah mengambil inisiatif semenjak beberapa tahun yang lalu mengeluarkan Buku Panduan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah. 

Buku panduan tersebut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan usaha meningkatkan kesedaran serta latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada guru, kakitangan sekolah dan pelajar. Selain itu, buku ini turut memberi panduan mengenai aspek keselamatan di makmal, pejabat dan kantin, keselamatan ketika bersukan, pencegahan risiko terjatuh, keselamatan makanan di kantin, kebersihan dan kesihatan diri, prosedur pengosongan bangunan semasa kecemasan, serta langkah pertolongan cemas.

Segala cadangan yang dikemukakan ini harus dipandang positif dan serius oleh semua pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah bagi terus menjamin aspek keselamatan dan kesihatan para pelajar di sekolah terpelihara.-UTUSAN

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN