Kurangkan kesan krisis minyak dunia

Kurangkan kesan krisis minyak dunia

KERAJAAN berdepan dilema pengagihan subsidi selepas mengurangkan kuota dari 300 liter dengan kadar RM1.99 per liter sebulan kepada 200 liter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM menghadapi ketidaktentuan global, khususnya konflik yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, dunia digemparkan dengan kenaikan harga minyak yang ketara. 

Rentetan itu, kerajaan berdepan dilema pengagihan subsidi selepas mengurangkan kuota subsidi dari 300 liter  dengan kadar RM1.99 per liter sebulan kepada 200 liter melalui Program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Langkah ini penting untuk memastikan wang negara dapat dijimatkan untuk program-program strategik seperti pendidikan dan kesihatan.

Dalam masa sama, pembangkang seharusnya kembali berfungsi dan tidak bersifat politikal semata-mata dalam isu ini kerana bukan semua polemik wajar menjadi belitan politik.

Rakyat akan menjadi keliru antara fakta dan auta sekiranya pembangkang terus menerus bermain retorik politik, sedangkan isu raksasa untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang menghimpit rakyat. 

Disebabkan itu, kerajaan dan pembangkang harus berganding bahu dalam mendepani krisis ini, bukannya berfikir mengenai politik semata.

Walau bagaimanapun, saya juga tidak menafikan kebimbangan rakyat masih ada terhadap langkah pengurangan kuota subsidi ini. Oleh itu, beberapa penambahbaikan perlu diimplementasikan dalam kes ini. Mungkin kerajaan boleh menggunakan kuota bergulir hibrid dan ganjaran untuk mengatasi isu ini.

Bagaimana sistem ini berfungsi? Barangkali kerajaan boleh tetapkan 200 liter sebulan dengan kadar RM1.99 seliter. Sekiranya ada lebihan 20 liter, mungkin  boleh ditukar kepada RM20 melalui Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Langkah ini sekali gus merancakkan ekonomi negara yang berpotensi menjadi lesu. Bahkan, cara ini meringankan beban masyarakat sivil di negara kita.

Pada bulan berikutnya, jika 20 liter tidak digunakan, kerajaan hanya perlu menambah 180 liter.

Diharap melalui kaedah ini, negara dapat kekal bernafas di tengah konflik.

Saya doakan semoga konflik dan ketegangan ini segera reda supaya negara tidak lagi merasai tempiasnya. Rakyat juga haruslah memberi sokongan dan berusaha memahami langkah kerajaan. 

Kepada pembangkang, berhentilah mengkritik hal ehwal remeh temeh, sepatutnya kalian perlu berfikiran terbuka kerana fokus kita untuk membangunkan Malaysia di kala asap akibat menyelubungi satu dunia. –UTUSAN

 

MUHAMMAD AMIR HADI MAHRIZAL

Tamhidi Syariah Dan Undang-Undang,

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN