PETALING JAYA: Konflik Asia Barat yang berlaku pada ketika ini susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran dijangka mengambil tempoh masa yang panjang untuk dipulihkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik tersebut sudah pasti akan menjejaskan rantaian bekalan global khususnya tenaga dari Malaysia.
“Ini berlaku tentunya jejaskan rantaian bekalan global khususnya tenaga dari Malaysia tidak terkecuali, cuma kita harus bersyukur kehadrat Allah kerana kita memasuki
fasa ini dalam keadaan ekonomi yang relatif lebih stabil dan kita dapat bertahan RON95 umpamanya dengan RM1.99.
“Itu mengejutkan kerana kalau lihat kos dan harga minyak dengan orang terpaksa beratur ada catuan di negara negara rantau itu tentunya merimaskan,” katanya dalam taklimat ringkas malam ini.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Perdana Menteri turut berkata, semua pihak tidak boleh terlalu selesa kerana kemungkinan ia boleh membawa kepada masalah lebih berat.
“Kita harus terima kenyataan bahawa keadaan tidak seperti biasa. Kalau keadaan itu mencemaskan, maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan kita mesti ikut rancangan kita,” katanya.










