Kerajaan kekal subsidi walau harga minyak global naik - Utusan Malaysia

Kerajaan kekal subsidi walau harga minyak global naik

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan terhadap pasaran domestik semakin memuncak apabila krisis tenaga global berlarutan, disusuli kenaikan mendadak harga petroleum bertapis terutama diesel yang melonjak hingga AS$250 setong.

Malah, struktur harga diesel diproses didapati jauh lebih tinggi berbanding petrol diproses yang kini berada sekitar AS$150 setong.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, tekanan sebenar terhadap harga runcit berpunca daripada harga produk ditapis berkenaan, berbanding minyak mentah Brent yang hanya melepasi AS$100 setong selepas meningkat lebih 40 peratus.

“Sejak krisis Asia Barat meletus, Kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam, malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut,” katanya.

Gambaran sebenar tekanan kos global dapat dilihat melalui anggaran harga runcit tanpa subsidi bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, apabila harga diesel di Semenanjung Malaysia diunjurkan meningkat kepada RM6.02 seliter.

Sementara itu, harga RON97 tanpa subsidi mencatatkan penurunan kepada RM4.95 seliter berbanding RM5.15 sebelumnya, manakala RON95 kekal pada kadar RM3.87 seliter.

Dalam masa sama, kerajaan terus melindungi pengguna sasaran dengan mengekalkan harga bersubsidi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter.

Harga diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta bagi pengguna di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga kekal pada RM2.15 seliter.

Sebagai langkah penyesuaian sementara, kerajaan bermula hari ini (1 April 2026) mengehadkan kelayakan BUDI95 kepada kuota 200 liter sebulan.

Langkah itu disifatkan sebagai pendekatan interim bersyarat yang akan diteruskan sehingga keadaan pasaran global kembali stabil.

Bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial, kerajaan turut meneruskan bantuan tunai tambahan interim BUDI Diesel sebanyak RM100 bagi April.

Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal pada RM300 sebulan.

Dalam usaha memastikan ketelusan dan mengurangkan ketirisan, penguatkuasaan lebih tegas turut dilaksanakan, khususnya di kawasan berisiko seperti Sabah, Sarawak dan Labuan.

Di bawah peraturan baharu, had pengisian maksimum ditetapkan kepada 50 liter bagi kenderaan ringan persendirian, 100 liter untuk kenderaan barangan bawah tiga tan, dan 150 liter bagi lori melebihi tiga tan.

Melangkah ke hadapan, MoF sedang memperhalusi pelan sokongan jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan serta terus mengimbangi keperluan fiskal dengan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN