SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengenal pasti stesen minyak dan syarikat pemborong diesel bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dalam penjualan bahan api.
Justeru, sebanyak 809 stesen minyak dikenal pasti aktif beroperasi di negeri ini serta 79 syarikat pemborong diesel menjadi perhatian di bawah pemeriksaan Operasi (Ops) Tiris 4.0.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pihaknya mengatur pemeriksaan secara terancang seperti mengenal pasti stesen minyak yang perlu diberi pemeriksaan lebih kerap dan rapat berdasarkan trafik kenderaan serta rekod jualan bahan api.
“Tingkatkan kekerapan Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) KPDN Selangor untuk meronda di sekitar stesen minyak sebagai isyarat keberadaan anggota. Kehadiran Anggota URB akan direkodkan melalui buku rondaan ditempatkan di stesen minyak yang dilawati.
“Pemeriksaan memfokuskan kepada perkara penting berikut iaitu pemeriksaan dan pemantauan ke atas kenderaan pendaftaran asing. Pemeriksaan status tentusah mesin pengisian pam supaya masih dalam status sah digunakan, kenderaan perdagangan dan aktiviti pengisian bahan api ke dalam tong atau bekas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, KPDN Selangor turut sama memeriksa prestasi keberadaan bekalan bahan api supaya tidak terjejas dan memberikan kesan kepada keperluan pengguna.
Beliau turut menasihatkan agar orang ramai tidak sesekali mencipta suasana panik semasa membuat pembelian bahan api di stesen minyak dan sebarang pertanyaan berhubung pembelian bahan api boleh mendapat khidmat pertanyaan di kaunter.
“Adalah ditegaskan, KPDN Selangor tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan Petrol RON 95 2026 itu dengan hukuman yang deterrent seperti mana ditetapkan Akta Kawalan Barangan 1961.
KPDN Selangor juga menjalankan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritm Malaysia) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor baru baru ini.
“Ia sebagai langkah intervensi dan menyelia aktiviti perdagangan melibatkan barang kawalan bahan api di laut dan darat supaya tidak berlaku sebarang aktiviti yang mencurigakan dan merugikan subsidi negara,” jelasnya. – UTUSAN










