PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandang serius visual palsu berhubung dakwaan terdapat kenaikan tarif elektrik bermula April ini.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat tersebut adalah tidak benar, sekali gus berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Sebarang pelarasan kos elektrik pada masa ini adalah tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan dalam sektor tenaga sejak Julai 2025 lalu,” katanya.
Menurut TNB, kadar AFA adalah berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran matawang asing dan diselaraskan secara bulanan melalui pengesahan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga (ST).
“TNB ingin menegaskan bahawa sebarang perubahan berkaitan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi oleh TNB melalui saluran yang sah. TNB komited untuk memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat dan telus,” katanya.
Dalam hal ini, TNB akan melaporkan penyebaran maklumat palsu tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, merujuk hanya kepada pengumuman rasmi daripada TNB, menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.
Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui laman sosial Facebook TNB Careline atau mesej secara terus (DM) ke X @Tenaga_Nasional atau emelkan kepada [email protected]. – UTUSAN










