Cegah sebelum nahas tangani isu pemandu mabuk

Cegah sebelum nahas tangani isu pemandu mabuk

UNDANG-undang mesti memberi mesej yang jelas bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah tidak boleh diterima sama sekali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali berlaku kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, masyarakat akan kembali marah dan mendesak hukuman lebih berat. Reaksi itu memang wajar.

Apabila nyawa melayang akibat perbuatan yang boleh dielakkan, orang ramai tidak melihatnya sebagai kemalangan biasa tetapi sebagai kecuaian serius yang menuntut keadilan.

Namun, isu ini tidak boleh ditangani dengan kemarahan semata-mata. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada pendekatan semasa benar-benar mencukupi untuk mengelakkan tragedi yang sama daripada terus berulang.

Kes yang berlaku di Klang baru-baru ini memperlihatkan hakikat tersebut. Isunya bukan alkohol semata-mata. Ia membabitkan gabungan faktor yang jauh lebih berbahaya termasuk dadah, pemanduan laju, memotong secara berisiko dan memasuki laluan bertentangan.

Dalam keadaan seperti ini, risiko kemalangan maut meningkat dengan sangat cepat.

Oleh sebab itu, isu pemandu mabuk tidak wajar dilihat terlalu sempit. Bahaya sebenar datang daripada gabungan hilang pertimbangan, kelajuan dan sikap agresif di jalan raya. Jika masalah ini terus dilihat hanya dari satu sudut, penyelesaiannya juga akan kekal terbatas.

HUKUMAN LEBIH BERAT
Desakan supaya hukuman diperketat memang ada asasnya. Undang-undang mesti memberi mesej yang jelas bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah tidak boleh diterima sama sekali. Namun, pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa hukuman lebih berat sahaja belum tentu menyelesaikan masalah.

Satu kajian di Chile mendapati peningkatan hukuman berjaya mengurangkan kemalangan dan kecederaan berkaitan alkohol. Namun, kajian yang sama tidak menunjukkan kesan yang jelas terhadap kematian jalan raya.

Kajian itu juga menunjukkan golongan peminum tegar tidak semestinya berubah hanya kerana hukuman diperberat, manakala kebarangkalian untuk dikesan dan ditahan sering memberi kesan pencegahan yang lebih kuat.

Pengajarannya mudah. Hukuman tegas memang perlu tetapi hukuman sahaja tidak memadai jika sistem hanya bertindak selepas nyawa terkorban.

Atas sebab itu, penguatkuasaan perlu lebih konsisten dan lebih bijak. Operasi tidak boleh bermusim atau hanya diperketat apabila berlaku kes tular. Penguatkuasaan perlu tertumpu pada lokasi, masa dan keadaan yang benar-benar berisiko tinggi.

Dalam soal keselamatan jalan raya, kebarangkalian ditahan dan diuji sering lebih berkesan daripada ancaman hukuman yang jarang dirasai di lapangan.

Teknologi juga perlu diberi perhatian. Sistem pengesan alkohol, pemantauan tingkah laku pemandu dan penggunaan maklumat trafik yang lebih baik boleh membantu mencegah kejadian sebelum ia bertukar menjadi tragedi.

Negara tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada pendekatan menghukum selepas kemalangan berlaku.

Malah, bagi sesetengah individu, pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah bukan sekadar masalah disiplin tetapi berkait dengan ketagihan dan penyalahgunaan bahan.

Jika perhatian hanya tertumpu kepada hukuman tanpa usaha pemulihan dan intervensi awal, punca sebenar masalah tidak akan disentuh.

Menilai semula pendekatan terhadap pemandu mabuk bukan bererti berlembut dengan pesalah. Sebaliknya, ia menuntut peralihan daripada tindakan yang reaktif kepada pendekatan yang lebih menyeluruh, tegas dan berkesan. Hukuman dan pendakwaan mesti jelas serta berwibawa.

Dalam masa yang sama, penguatkuasaan, teknologi, pencegahan, pemulihan dan pembelaan terhadap mangsa perlu digerakkan seiring supaya tragedi di jalan raya dapat dicegah sebelum meragut nyawa. – UTUSAN

IR. DR. NORDIANA MASHROS
Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN