SHAH ALAM: Punca sebenar kemalangan jalan raya adalah sikap dan tingkah laku pemandu itu sendiri berbanding insiden membabitkan individu di bawah pengaruh alkohol sekitar 0.5 peratus daripada keseluruhan kes.
Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Profesor Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, walaupun isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia, namun itu bukanlah penyumbang utama.
“Jumlah terbesar kemalangan adalah melibatkan pemandu cuai ketika berdepan persekitaran seperti hujan dan infrastruktur jalan berlubang, itu adalah penyumbang besar berbanding pemanduan mabuk.
“Statistik menunjukkan pemandu mabuk adalah sedikit, terpencil dan bermusim. Bila berlaku satu kemalangan kemudian akan berlaku lagi, ada kalanya tiada langsung. Kemalangan akibat pemandu mabuk bukan kategori yang menyumbang jumlah terbesar dalam kes kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan supaya memulakan usaha fokus merombak hala tuju dan strategi pengangkutan negara ke arah penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.
Muhammad Zaly menjelaskan, ketika ini juga adalah waktu yang sesuai apabila negara berdepan kesan kenaikan harga minyak akibat sekatan di Selat Hormuz susulan krisis di Asia Barat.
Tambahnya, pendidikan di peringkat awal persekolahan berkenaan kepentingan penggunaan pengangkutan awam juga wajar dimulakan berbanding hukuman terhadap pesalah trafik.
“Kita ada peluang kedua untuk kita lihat semula visi halatuju strategi pengangkutan dan seterusnya merealisasikan harapan masyarakat untuk kurangkan kadar kemalangan.
“Berikan subsidi kepada operator perkhidmatan awam yang tertekan dengan peningkatan harga diesel. Kebanyakan operator banyak dijana enjin diesel, hanya peratusan kecil gunakan kuasa diperbaharui seperti elektrik,” ujarnya. – UTUSAN










