SHAH ALAM: Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar nekad membawa anak-anaknya pulang ke kampung halaman di Batu Kurau, Perak seperti mana yang dinasihatkan oleh suaminya semasa hayatnya.
Nurul Nadia Abdul Majid, 32, berkata, walaupun dia sudah pun merantau di bandar ini sejak 10 tahun lalu menyimpan banyak kenangan, namun akur akan kehendak suaminya yang tidak mahu dia dan anak-anak tinggal bersendirian.
“Dia (Allahyarham) selalu cakap kalau apa-apa jadi, dia suruh saya balik kampung bawa anak-anak, rumah di sini disewakan supaya saya ada pendapatan.
“Sudah lama dan selalu berpesan. Saya pula tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada suami, jadi dia selalu ulang pesanan itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, hari ini.
Tambahnya, sebelum ini suaminya pernah menyatakan hasrat untuk kembali ke kampung, namun menangguhkannya disebabkan keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.
“Lepas ini saya akan balik kampung. Memang saya hendak pindah sana. Sekarang dalam proses pindahkan sekolah anak-anak dan ambil dokumen semua, di sana saya akan duduk dengan ibu mentua yang juga tinggal bersendirian di sana,” ujarnya.
Selain itu, Nurul Nadia berkata, dia juga pernah meluahkan hasrat ingin berniaga pakaian terpakai di kampung kepada suaminya dan arwah menyambut baik cadangan tersebut.
“Sekarang saya fikir masa depan anak anak. Mereka masih sangat kecil. Saya ingat dengan sumbangan yang diterima saya hendak berniaga.
“Saya balik kampung (sebelum ini) ada nampak deretan rumah kedai kosong. Saya tanya arwah kalau buka kedai bundle laku tak…arwah sokong, dia memang sentiasa sokong apa saya nak buat,” luahnya.
Ahad lalu, Amirul Hafiz, 33, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta Honda City yang dipandu seorang pemandu mabuk ketika melalui Jalan Raya Barat, Klang.
Susulan insiden tersebut, pemandu yang dikenali sebagai R. Saktygaanapathy dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, semalam. – UTUSAN









