ARAK merupakan isu yang amat sensitif dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan umat Islam. Dalam ajaran Islam, arak jelas diharamkan dan tergolong dalam dosa besar.
Larangan ini bukan sekadar kepada perbuatan meminumnya, malah meliputi segala bentuk penglibatan seperti menyediakan, menjual, mengedar atau melayani minuman tersebut.
Hakikatnya, bukan hanya umat Islam yang memandang serius isu ini, malah ramai dalam kalangan masyarakat umum turut tidak selesa apabila budaya meminum arak semakin ketara kerana kesannya yang boleh merosakkan kehidupan individu, keluarga dan masyarakat.
Apa yang membimbangkan ialah tanda-tanda peningkatan pengambilan alkohol dalam negara. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, Malaysia berada pada kedudukan yang agak tinggi dari segi penggunaan alkohol.
Lebih merisaukan, sebahagian besar peminum arak murah terdiri daripada golongan muda, termasuk remaja bawah umur. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar, mengapa tabiat ini semakin menular?
Antara faktor yang menyumbang ialah kemudahan mendapatkan arak yang dijual secara meluas di premis tertentu. Walaupun penjualannya tertakluk kepada peraturan undang-undang seperti Akta Eksais 1976 dan Akta Kastam 1967, realitinya akses masih terbuka dan sukar dikawal sepenuhnya.
Dalam masa sama, pengaruh rakan sebaya, tekanan hidup, keinginan untuk diterima dalam kelompok sosial serta pengaruh budaya dan iklan turut mendorong individu, khususnya remaja, untuk mencuba.
Walaupun ramai menyedari mudarat arak, namun sebahagian masih terjebak. Ada yang melihatnya sebagai cara untuk melupakan masalah, ada juga yang mengaitkannya dengan gaya hidup moden. Namun, hakikatnya kesan arak jauh lebih besar daripada keseronokan sementara. Ia boleh menjejaskan kewarasan akal, melemahkan pertimbangan dan membuka ruang kepada pelbagai perlakuan negatif.
Dalam perspektif Islam, pengharaman arak bertujuan memelihara akal, iaitu anugerah paling berharga kepada manusia. Keadaan mabuk menyebabkan seseorang hilang kawalan diri dan bertindak di luar batas rasional.
Tidak hairanlah banyak kes jenayah seperti pergaduhan, keganasan, malah kemalangan jalan raya berpunca daripada pengaruh alkohol. Statistik juga menunjukkan alkohol menyumbang kepada sebahagian besar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini.
Lebih daripada itu, budaya meminum arak juga boleh menghakis nilai moral dan adab dalam masyarakat. Ia bercanggah dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat di negara ini. Apabila sesuatu yang memudaratkan mula dinormalisasikan, ia memberi kesan jangka panjang yang sukar dipulihkan.
Justeru, usaha membendung gejala ini memerlukan kerjasama semua pihak. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh, pendidikan dan kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan dan peranan keluarga amat penting dalam membentuk jati diri anak-anak.
Yang lebih utama, masyarakat perlu kembali kepada nilai agama dan moral sebagai panduan hidup.
Arak bukan sekadar isu peribadi tetapi isu sosial yang memberi kesan luas. Ia tidak wajar dinormalisasikan apatah lagi dijadikan budaya. Menjauhinya bukan sahaja tuntutan agama tetapi juga langkah penting dalam memelihara kesejahteraan masyarakat dan masa hadapan negara.-UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas










