KRISIS kewangan yang dilaporkan masih melanda sebilangan kelab dalam Liga Malaysia, khususnya Liga Super, telah berlarutan sejak sekian lama. Situasi ini mencerminkan cabaran besar dalam pengurusan pasukan apabila sumber pendapatan seperti penajaan korporat, jualan tiket, produk kelab dan royalti hak penyiaran tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan.
Perkara yang perlu dipertimbangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengelakkan kelab berdepan masalah tunggakan gaji adalah dengan mengenakan syarat lebih ketat kepada pasukan yang ingin mengikat kontrak dengan pemain import.
Gaji pemain import sudah tentu lebih tinggi daripada pemain tempatan. Menggaji ramai pemain import pasti memberi kesan besar kepada perbelanjaan bulanan. Pihak kelab diharap mengukur baju di badan sendiri dengan berbelanja ikut kemampuan agar pemain tidak menjadi mangsa di kemudian hari.
Kebajikan pemain yang tidak terjaga akan memberi kesan ke atas prestasi di atas padang. Luahan rasa pemain dan ahli keluarga terdekat menunggu gaji tidak kunjung tiba di platform media sosial akan menjatuhkan reputasi pihak pengurusan juga akhirnya.
Bukan saya bermaksud pemain tempatan akur sahaja gaji lewat dibayar tetapi kebiasaannya pemain import yang tidak sanggup berdepan masalah gaji tertunggak akan cari peluang meneruskan karier di negara lain. Pemain ini akan membuat aduan secara terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menuntut hak berbanding pemain tempatan yang masih boleh sabar menunggu.
Memberi keutamaan kepada pemain tempatan berbanding dari luar negara juga diharap boleh membuka peluang kepada lebih ramai bakat muda tempatan bawah 23 tahun untuk disenaraikan secara konsisten dalam skuad utama di samping pemain berpengalaman masih berpeluang beraksi di peringkat tertinggi walaupun sudah berusia 30-an.-UTUSAN
M. FAISAL
Kuala Lumpur










