Tingkat kesedaran derma darah walau berpuasa

Tingkat kesedaran derma darah walau berpuasa

DALAM bulan Ramadan, jumlah penderma darah biasanya menurun antara 20 peratus hingga 30 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun, Pusat Darah Negara dan tabung-tabung darah di seluruh hospital di Malaysia berhadapan dengan cabaran yang sama iaitu penyusutan stok darah yang kritikal sepanjang bulan puasa dan menjelang musim perayaan.

Antara kekangan utama yang menghalang umat Islam daripada menderma darah pada bulan Ramadan adalah kekeliruan mengenai status sah puasa mereka.

Dari sudut syarak, majoriti ulama termasuk keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan menderma darah tidak membatalkan puasa. Prinsip asas yang digunakan adalah “apa yang masuk ke dalam rongga akan membatalkan puasa, manakala apa yang keluar daripada badan tidak membatalkan puasa” (kecuali perkara yang disengajakan). Menderma darah dikategorikan sama seperti hijamah (bekam).

Secara puratanya, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 unit darah setiap hari untuk menampung keperluan pesakit. Darah ini diperlukan untuk kes-kes pembedahan, mangsa kemalangan jalan raya, ibu bersalin yang mengalami tumpah darah serta pesakit kronik seperti pesakit talasemia dan kanser yang memerlukan transfusi secara berkala.

Apabila Ramadan, jumlah penderma darah biasanya menurun antara 20 hingga 30 peratus disebabkan oleh perubahan pola tidur dan pemakanan penderma yang menyebabkan mereka merasa kurang bertenaga untuk tampil menderma pada waktu siang. 

Keadaan ini lebih membimbangkan apabila menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana statistik kemalangan jalan raya biasanya meningkat, sekali gus melonjakkan permintaan terhadap bekalan darah.

Untuk menangani isu kekurangan darah di bulan puasa, maka pihak masjid dan surau boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kempen derma darah selepas solat Tarawih. 

Kerjasama antara jabatan agama dan kementerian kesihatan ini sangat berkesan kerana mendekatkan fasiliti kepada penderma pada waktu mereka paling bersedia (selepas makan).

Majikan juga boleh memainkan peranan dengan memberi kelonggaran waktu atau galakan kepada pekerja yang ingin menderma darah. Promosi di media sosial juga harus diperhebatkan untuk membuang stigma bahawa menderma darah di bulan puasa itu meletihkan. –UTUSAN

 

DR. RAZIF DASIMAN

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN