PETALING JAYA: Sempena sambutan Aidilfitri, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menampilkan video raya bertajuk ‘Kasih Tak Terlihat’ yang mengangkat tema kehidupan golongan kurang upaya (OKU) penglihatan.
Naskhah tersebut mengetengahkan kisah menyentuh hati mengenai seorang ibu buta yang dilupakan oleh anaknya sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen pihak bank dalam menyemai nilai empati dan keprihatinan melalui pendekatan penceritaan yang rapat dengan realiti masyarakat.
“Melalui Kasih Tak Terlihat, kami ingin mengajak masyarakat merenung kembali makna kasih sayang seorang ibu yang sering kali tidak ternilai dan tidak terlihat, namun sentiasa hadir dalam kehidupan kita.
“Video tersebut wajar dijadikan peringatan agar sambutan perayaan dijadikan waktu terbaik untuk kembali kepada nilai ihsan, memaafkan, dan menghargai insan yang paling berjasa dalam hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul berkata, Bank Muamalat turut mengagihkan sumbangan baju raya dan duit raya kepada komuniti asnaf dalam kalangan ahli Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan gembira dan bermakna.
“Inisiatif berkenaan selari dengan usaha memperluaskan impak sosial bank menerusi pelbagai platform kewangan sosial termasuk Jariah Fund bagi menyokong golongan yang memerlukan secara lebih mampan dan inklusif.
Khairul berkata, langkah ini menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia yang menekankan prinsip Layanan Adil Terhadap Pengguna Kewangan, demi memastikan penyediaan perkhidmatan yang adil kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan kurang upaya.
Katanya, Bank Muamalat juga komited untuk meneruskan kerjasama dengan MAB menerusi inisiatif yang memberi impak kepada komuniti tersebut.
“Hal itu termasuk mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan, literasi kewangan dan peluang pembangunan ekonomi.
“Usaha ini membuktikan peranan aktif Bank Muamalat sebagai institusi kewangan Islam dalam memacu pembangunan masyarakat secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










