KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang berpotensi menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mengukuhkan kedudukannya sekiranya MIC secara rasmi menyertai gabungan itu dalam masa terdekat.
Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, tambahan tersebut dijangka melibatkan kerusi DUN Sabai yang kini disandang wakil MIC, V. Arumugam.
Katanya, kerusi DUN dimiliki PN Pahang akan meningkat kepada 18 sekiranya MIC menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.
“Perkara ini sebenarnya sudah diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, namun masih ada sedikit kekangan kerana MIC belum membuat keputusan rasmi.
“Bagaimanapun, jika MIC sah bersama PN, kerusi Sabai itu dikekalkan kepada mereka mengikut prinsip status quo untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya. ketika ditemui pada majlis santai di Pusat Khidmat DUN Panching, di sini hari ini.
Untuk rekod, Arumugam adalah calon tunggal MIC di Pahang pada PRU-15 dan merampas kerusi DUN Sabai dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti tipis 96 undi, menewaskan penyandang daripada DAP.
Rosli yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, penyertaan MIC mampu memberi nilai tambah kepada PN khususnya dalam menarik sokongan masyarakat India.
Katanya, walaupun Pas mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menghimpunkan pelbagai kaum, kehadiran MIC dilihat mampu memperkukuh lagi sokongan bukan Melayu terhadap gabungan itu.
“Bukan semua masyarakat India menyokong DAP, Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), jadi kemasukan MIC boleh membantu memperluas sokongan,” ujarnya.
Mengulas isu kuil tanpa kebenaran dan penggunaan elemen 3R dalam siasatan demonstrasi baru-baru ini, Rosli berkata, perkara tersebut sepatutnya boleh ditangani dengan lebih baik sekiranya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih tersusun.
Katanya, kelemahan dalam membuat keputusan dan pengurusan isu sensitif menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.
“Kalau ikut undang-undang, perkara ini boleh diselesaikan secara rundingan seperti pendekatan di Kedah, iaitu memindahkan kuil yang tiada geran ke kawasan yang sah,” katanya. – UTUSAN










