PETALING JAYA: Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) iaitu USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang hanya persinggahan sementara atau port of call untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persinggahan sementara kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
Malah katanya, ia merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
“Tujuan utama port of call adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal.
“Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
“Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini yang menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut AS di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.
Tambah Mohamed Khaled, persinggahan sementara ini juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan.
Katanya, ia termasuk bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan antaranya Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat (AS). – UTUSAN










