SHAH ALAM : Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Tengah I yang berlangsung secara maya mencatat sejarah apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Largest Higher Education Virtual Carnival”, sekali gus menandakan pencapaian baharu dalam usaha memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Karnival yang diadakan pada 16 hingga 17 Mac lalu itu melibatkan penyertaan semua universiti awam (UA) serta pelbagai agensi pendidikan tinggi, dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilantik sebagai tuan rumah bagi penganjuran Zon Tengah I.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata, penganjuran karnival secara maya merupakan pendekatan inovatif selaras dengan keperluan transformasi digital dalam penyampaian maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Menurut beliau, Karnival Jom Masuk Universiti merupakan inisiatif penting KPT dalam membantu pelajar lepasan sekolah dan ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi.
“Karnival ini membuka ruang kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi, program pengajian serta peluang yang ditawarkan oleh universiti awam, institusi pendidikan tinggi awam, MARA Bahagian Pendidikan Tinggi dan juga institusi pendidikan tinggi swasta,” katanya.
Bagi menyokong pelaksanaan karnival secara maya, UiTM turut membangunkan sebuah platform digital khas iaitu jommasuku.uitm.edu.my, yang dibangunkan sepenuhnya secara in-house oleh kepakaran warga UiTM bagi memastikan pengalaman interaktif kepada para pengunjung.
Karnival JMU 2026 Zon Tengah I secara virtual pada kali ini melibatkan penyertaan 62 agensi dan institusi pendidikan tinggi yang membuka reruai maya bagi memberikan maklumat berkaitan peluang pengajian kepada para pelajar.
Pihak penganjur pada asalnya menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 240 reruai maya, namun sambutan menggalakkan daripada pelbagai institusi telah meningkatkan sasaran kepada 386 reruai maya sepanjang penganjuran karnival ini.
Sebagai tuan rumah, UiTM turut memainkan peranan aktif dengan membuka 37 reruai maya yang melibatkan semua fakulti serta jabatan di universiti tersebut bagi memberikan maklumat secara langsung kepada para pelajar yang berminat.
Dalam ucapannya, Shahrin turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi atas kepercayaan yang diberikan kepada UiTM sebagai rakan strategik penganjuran bagi Zon Tengah I.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Maxis selaku rakan penaja dan rakan industri yang menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti secara maya ini diharap dapat menjadi platform penting kepada para pelajar dalam membuat pilihan pendidikan tinggi yang tepat.
“Kami berharap platform ini dapat membantu para pelajar membuat keputusan yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan generasi graduan yang berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Karnival JMU 2026 Zon Tengah I secara virtual ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi pendidikan tinggi dalam memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi secara inklusif kepada masyarakat. – UTUSAN










