Sejauh mana tahap kebersihan bazar Ramadan?

Sejauh mana tahap kebersihan bazar Ramadan?

BAZAR Ramadan memerlukan pemantauan yang berterusan bagi memastikan tahap kebersihan yang memuaskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEKITARAN bazar Ramadan mempunyai cabaran tersendiri kerana kebanyakan makanan disediakan dalam keadaan terbuka, terdedah kepada habuk, serangga serta pencemaran persekitaran.

Kehadiran lalat di kawasan penyediaan makanan bukan sekadar isu kebersihan visual tetapi boleh menjadi medium pemindahan bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan keracunan makanan. 

Suhu persekitaran yang panas di Malaysia turut mempercepatkan pertumbuhan mikroorganisma dalam makanan sekiranya penyimpanan tidak dikendalikan dengan betul.

Makanan panas perlu dikekalkan pada suhu yang sesuai bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria, manakala makanan yang mudah rosak seperti lauk berasaskan santan, ayam atau makanan laut perlu disimpan dengan baik sebelum dijual. 

Malangnya, terdapat keadaan di mana makanan dimasak terlalu awal dan dibiarkan pada suhu bilik dalam tempoh yang panjang sebelum dijual, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran bakteria.

Dari sudut perundangan, keselamatan makanan di Malaysia sebenarnya dikawal melalui Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang menetapkan keperluan kebersihan premis, pengendalian makanan serta kesihatan pengendali makanan.

Pengendali makanan diwajibkan menjalani latihan pengendalian makanan dan suntikan pelalian tifoid bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit bawaan makanan. 

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga mempunyai kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk memantau kebersihan persekitaran serta mengawal operasi gerai makanan termasuk bazar Ramadan.

Data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 204 kes keracunan makanan direkodkan setakat Mei 2025, berbanding 707 kes sepanjang 2024. 

Walaupun trend keseluruhan menunjukkan penurunan, namun kejadian keracunan makanan masih berlaku setiap tahun dan risiko boleh meningkat dalam tempoh tertentu seperti musim 

Ramadan sekiranya pengendalian makanan tidak mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan. 

Ini menunjukkan aspek keselamatan makanan di bazar Ramadan tidak boleh dipandang ringan kerana peningkatan permintaan makanan boleh meningkatkan potensi pencemaran jika kawalan tidak dilaksanakan dengan baik.

Dari perspektif kesihatan persekitaran, bazar Ramadan memerlukan pemantauan yang berterusan bagi memastikan tahap kebersihan yang memuaskan.

Pihak berkuasa sememangnya menjalankan pemeriksaan, namun kesedaran peniaga dan pengguna juga sangat penting.

Peniaga perlu memastikan kawasan penyediaan makanan bersih, makanan ditutup dengan baik serta sisa makanan diurus dengan teratur bagi mengelakkan pembiakan vektor seperti lalat dan lipas.

Pengguna juga mempunyai peranan besar dalam mengurangkan risiko kesihatan. Memilih gerai yang bersih, memastikan makanan masih panas atau disimpan dengan baik serta mengelakkan pembelian makanan yang terdedah kepada persekitaran adalah langkah mudah tetapi berkesan. 

Selain itu, makanan yang dibeli sebaiknya dimakan dalam tempoh yang singkat dan tidak dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik sebelum berbuka.

Bazar Ramadan merupakan tradisi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi setempat, namun aspek kesihatan persekitaran tidak boleh dipandang ringan. 

Kesedaran bersama antara peniaga, pengguna dan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan makanan yang dinikmati sepanjang Ramadan bukan sahaja lazat tetapi juga selamat. 

Dalam keghairahan menyambut bulan penuh keberkatan, janganlah kita mengabaikan perkara asas yang paling penting iaitu kesihatan. -UTUSAN

 

DR. TENGKU NILAM BAIZURA TENGKU IBRAHIM
Jabatan Kesihatan Persekitaran,
Fakulti Sains Kesihatan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN