Pandu dengan berhemah ketika pulang ke kampung

Pandu dengan berhemah ketika pulang ke kampung

AMALKAN pemanduan defensif dan sentiasa bersedia menghadapi perkara di luar jangkaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUTAAN rakyat Malaysia kini sedang bersiap sedia untuk tradisi tahunan pulang ke kampung halaman.

Walaupun keterujaan untuk bertemu keluarga kian terasa, namun pertambahan kenderaan di lebuh raya menuntut kewaspadaan yang tinggi.

Bagi memastikan perjalanan anda seindah destinasi yang dituju, jadikan keselamatan sebagai ‘teman’ utama di sisi. Antaranya yang boleh dilakukan:

– Rancang perjalanan
Sebelum memuatkan kereta dengan baju raya dan balang kuih, pastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik.

Kenderaan yang diselenggara dengan sempurna adalah benteng pertahanan pertama.

Bagi memastikan perjalanan yang lancar, lakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem utama kenderaan seperti brek, stereng, penyerap hentak, ekzos dan pastikan keadaan tayar masih dalam tahap optimum.

Jangan abaikan aspek penglihatan atau ‘mata’ kenderaan dengan memastikan setiap lampu, lampu isyarat dan pengelap cermin berfungsi dengan sempurna sebelum memulakan pemanduan.

Selain itu, rancang laluan anda dengan bijak memandangkan kesesakan luar biasa dijangka berlaku di lebuh raya utama.

Peruntukkanlah masa yang mencukupi agar anda tidak perlu terburu-buru di jalan raya, kerana biar lambat, asalkan selamat sampai ke pangkuan keluarga tersayang.

– Disiplin ketika memandu
Perjalanan yang selamat bermula daripada pemandu yang cukup rehat. Keletihan atau mengantuk adalah ‘pembunuh senyap’ di jalan raya.

Pastikan anda mendapat tidur yang cukup sebelum memulakan pemanduan dan patuhi peraturan dua jam. Maksudnya, ambil masa untuk berehat setiap dua jam atau setiap 200 kilometer (km) perjalanan. Singgah di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk meregangkan badan atau menikmati minuman agar minda kembali segar.

Semasa berada di jalan raya, kunci utama keselamatan terletak pada aspek penglihatan dan amalan pemanduan defensif yang berdisiplin.

Pastikan kenderaan anda mudah dilihat oleh pengguna lain dengan menyalakan lampu walaupun pada waktu siang, serta sentiasa peka untuk merendahkan lampu tinggi sebelum berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Selain itu, penting untuk mengekalkan jarak selamat sekurang-kurangnya dua saat dengan kenderaan di hadapan dan jarak ini perlu ditambah pada waktu malam atau ketika hujan lebat yang sering melanda iklim tropika kita.

Paling utama, sentiasalah mematuhi had laju yang ditetapkan dan hanya lakukan aktiviti memotong apabila keadaan benar-benar selamat bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan.

Keselamatan jalan raya bukan sekadar kemahiran teknikal, malah melibatkan aspek psikologi.

Amalkan pemanduan defensif dan sentiasa bersedia menghadapi perkara di luar jangkaan. Jangan sesekali menganggap pemandu lain akan sentiasa mematuhi undang-undang dan sentiasa berwaspada terhadap gerakan bahaya atau lintasan pejalan kaki.

Elakkan gangguan seperti membalas mesej atau berbual panjang di telefon bimbit sehingga tiba di tempat hentian.

Paling utama, amalkan sikap bertoleransi. Cuaca panas dan kesesakan trafik boleh mencabar kesabaran, namun mengawal amarah terhadap pemandu agresif mampu mengekalkan ketenangan sekali gus mengelakkan kemalangan.

Di Malaysia, kita meraikan Aidilfitri sebagai satu keluarga besar. Lebaran ini, marilah kita saling menjaga antara satu sama lain di jalan raya.

Pandu cermat, kekal sabar dan selamat menyambut hari raya yang penuh keberkatan bersama keluarga tercinta.

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NOR’IZAH AHMAD & AHMAD NIZAM CHE KASIM
Fakulti Perniagaan & Komunikasi,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN