Pakailah pakaian tradisi di hari raya

Pakailah pakaian tradisi di hari raya

BAJU Melayu melambangkan ketertiban dan kemuliaan lelaki Melayu, manakala baju kurung memancarkan kelembutan dan kesopanan wanita Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FESYEN luar semakin mendominasi sambutan hari raya. Kita menyaksikan baju raya yang semakin menjauh daripada ciri tradisi, potongannya semakin bebas, dan maknanya semakin terpisah daripada nilai kesopanan.

Keadaan ini seharusnya menyedarkan kita bahawa tanpa kesedaran, budaya berpakaian kebangsaan akan semakin terhakis, walaupun hari raya adalah saat paling sesuai untuk menghidupkannya kembali.

Baju Melayu melambangkan ketertiban dan kemuliaan lelaki Melayu, manakala baju kurung memancarkan kelembutan dan kesopanan wanita Melayu. Apabila dipakai pada pagi Syawal, pakaian ini menghidupkan suasana yang penuh adab, keharmonian dan penghormatan terhadap agama serta tradisi.

Dalam konteks sosial, berpakaian kebangsaan pada hari raya turut membentuk persekitaran yang lebih tertib dan beradab. Kunjungan ke rumah saudara-mara dan jiran menjadi lebih bermakna apabila dihiasi dengan kesopanan dalam berpakaian.

Ia mencerminkan rasa hormat terhadap tuan rumah dan juga terhadap nilai masyarakat yang menjunjung kesederhanaan dan maruah diri.

Kreativiti dalam rekaan boleh terus berkembang, tetapi asas pakaian kebangsaan perlu dipelihara agar identiti tidak terkorban atas nama trend.

Peranan keluarga amat besar dalam menghidupkan budaya ini. Ibu bapa yang memilih pakaian kebangsaan untuk diri dan anak-anak pada hari raya sedang menanam nilai cinta kepada warisan. Pilihan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya besar dalam membentuk sikap generasi akan datang terhadap budaya sendiri.

Pendedahan kepada sejarah dan makna pakaian tradisional akan menambah kefahaman dan penghargaan masyarakat. Apabila generasi muda memahami bahawa pakaian kebangsaan adalah simbol identiti, mereka akan lebih rela dan bangga untuk memakainya.

Mengembalikan pemakaian pakaian kebangsaan pada hari raya adalah usaha memelihara jiwa bangsa. Ia bukan nostalgia kosong, tetapi satu langkah membina masa depan yang berpijak pada akar sendiri.

Jika setiap Syawal kita memilih untuk kembali kepada tradisi ini, maka hari raya bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi pernyataan bahawa kita masih setia kepada identiti dan warisan yang membesarkan kita. – UTUSAN

AZIZUl ASYRAF MD HELMI
MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN