PETALING JAYA: Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu perlu memelihara identiti pemakaian baju Melayu dan Kurung terutamanya sewaktu menyambut hari perayaan dan majlis-majlis rasmi.
Menurut Pengerusi Penggiat Busana Negeri Sembilan, Datuk Menti Laksamana Alias Zakaria, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap identiti pakaian tradisional Melayu terutama dalam kalangan generasi muda yang mengutamakan baju negara luar seperti kurta dan abaya.
“Saya memang tidak setuju busana yang bukan daripada warisan kita diangkat sebagai pakaian bagi meraikan hari perayaan seperti Aidilfitri.
“Kita ada baju kita, kalau kita sendiri tidak mengangkat busana kita, siapa lagi hendak angkat? Budaya bangsa lain seperti Pakistan pula kita agung-agungkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang juga merupakan Tokoh Busana Tradisional Negeri Sembilan berkata, kebanyakan generasi muda sekarang memilih Kurta dan Abaya kerana cara pemakaiannya yang mudah dan ringkas berbanding pakaian tradisional Melayu yang memerlukan samping dan bengkung.
Katanya, perkara tersebut akan menyebabkan identiti budaya Melayu ini akan hilang dan semakin dilupakan.
“Cuba lihat orang Jepun, walaupun negara maju dengan teknologi, budaya dan identiti negara mereka masih terpelihara dengan pakaian Kimono dan Yukata dipakai sewaktu majlis-majlis rasmi.
“Kita tidak menafikan pengaruh budaya luar, namun identiti bangsa Melayu harus dikekalkan. Jangan kita lupakan,” katanya.
Beliau juga menegaskan kepada pereka fesyen di luar sana seharusnya mengetahui prinsip dan falsafah asal baju Melayu dan Kurung bagi mengelakkan kecacatan pakaian tersebut.
“Prinsip awal baju tradisional kita adalah menutup aurat, sekiranya terdedah sana terdedah sini, ia sudah lari dengan prinsip awal baju itu direka,” katanya.
Dalam pada itu, tokoh sastera, Datuk Dr. Lim Swee Tin berkongsi rasa cintanya terhadap keunikan baju Melayu walaupun beliau berbangsa Cina.
Menurutnya, baju Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi dan tiada tandingannya jika dibandingkan dengan pakaian tradisional lain.
“Orang Melayu sangat menjaga keperibadian mereka yang lembut dan halus, selari dengan sifat tertib dan kesopanan orang Melayu.
“Saya sendiri mempunyai sembilan helai baju Melayu dan akan pakai secara bergilir-gilir kerana saya sangat sayang Baju Melayu,” katanya.
Beliau menyeru kepada orang Melayu supaya mengekalkan tradisi busana itu dengan memakai Baju Melayu asli dan tiada unsur lain bagi menjaga keaslian pakaian tersebut.-UTUSAN










