PESAK dan kekek merupakan dua ciri utama yang terdapat pada baju Melayu sama ada daripada jenis Teluk Belanga atau Cekak Musang.
Ia merupakan sambungan yang membentuk panel memanjang ke bawah di bahagian kanan dan kiri baju bermula dari bahagian ketiak.
Kekek pula adalah jahitan untuk kepingan fabrik berbentuk retin, dicantum pada ketiak yang mempunyai fungsinya tersendiri.
Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Paduka Prof. Dr. Supyan Hussin berkata, pesak dan kekek direka sebagai tujuan ventilasi udara untuk mengeringkan pakaian.
Rekaan itu dicipta bersesuaian dengan iklim khatulistiwa yang menyebabkan cuaca bertukar panas dan lembap akibat hujan di negara ini.
“Kalau kita cepat berpeluh sudah tentu ketiak akan menjadi basah. Jadi, apabila ada pesak dan kekek, peluh tidak kelihatan sebab mempunyai ruang udara dan kelonggaran di dalam pakaian itu.
“Rekaan tradisi turun-temurun ini sebenarnya sudah mempunyai teknologi angin, baik pada baju Melayu bagi golongan lelaki atau baju kurung untuk perempuan,” katanya mengulas mengenai trend penciptaan baju Melayu moden yang mengabaikan fungsi pesak dan kekek.
SONGKOK
Pemakaian baju Melayu tidak lengkap tanpa songkok di kepala. Ia berasal dari pedagang India dan Pakistan yang akhirnya meresap ke dalam budaya Melayu.
Pakar budaya dan warisan ini memberitahu, pada asalnya, sejarah tamadun Melayu sendiri sudah membuktikan orang Melayu mengenakan kain penutup di atas kepala yang mempunyai pelbagai fungsi.
“Contohnya, kalau masuk hutan kain itu boleh dijadikan sebagai pengikat kayu api, menggendong anak, kain basahan ketika mandi di sungai, kain penutup selepas mandi, dijadikan alas ketika makan dan alat untuk mengipas.
“Konsep orang Melayu tutup kepala ini sebenarnya disebabkan faktor cuaca serta dijadikan sebagai peralatan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Kain yang diikat atas kepala mengalami evolusi selepas kedatangan pedagang India ke Tanah Melayu serta penghijrahan penduduk ke kawasan bandar.
“Apabila pedagang India datang, mereka juga menutup kepala dengan memakai songkok. Orang Melayu menjadikan ia sebagai penutup kerana dilihat lebih senang dan praktikal kerana tidak perlu dililit.
“Akhirnya, ia meresap dan melekat di dalam budaya masyarakat Melayu. Ini bukan bermaksud kita meniru orang India, tetapi asasnya adalah menutup kepala yang selari dengan kedatangan Islam ketika itu,” katanya.
Selain songkok, kopiah putih berasal dari pedagang Cina, tarbus dari Turki dan topi dari Barat.
Songkok akhirnya paling dominan dan menjadi aksesori penghias orang Melayu termasuk ketika menunaikan solat.
FUNGSI SAMPIN
Baju Melayu tidak akan lengkap jika tidak digandingkan dengan sampin daripada kain pelekat atau kain songket yang dililit kemas di bahagian pinggang.
Aksesori ini melambangkan kesungguhan menjaga syahwat, aurat dan maruah.
Zaman dahulu tiada seluar dalam dan seluar pula adalah jenis jerut yang tidak mempunyai pin atau cangkuk, justeru sampin ini bertujuan menutup aurat atau tidak menampakkan sebarang bayangan pada bentuk tubuh.










