SAUDARA PENGARANG,
SABAN tahun, hari raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Selain kuih-muih dan hidangan istimewa, pemilihan busana di hari lebaran juga tidak kurang pentingnya.
Kebanyakan daripada kita menyediakan dua persalinan, baju Melayu bagi lelaki, baju kurung atau kebaya bagi perempuan serta baju yang pelbagai reka bentuk mengikut pilihan.
Kebanjiran baju tradisi bukan Melayu seperti kurta juga mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Hal ini walaupun tidak bercanggah dengan ajaran Islam, namun ia dilihat seperti menghakis jati diri Melayu secara perlahan-lahan.
Pakaian asing seperti ini sebenarnya mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan sesuai dengan masyarakat asalnya sahaja. Dalam keasyikan memilih pakaian tradisional, khasnya baju melayu, saya ingin menyentuh fenomena busana Melayu yang mula diberikan nafas baharu.
Bagi penulis, ini adalah satu perkembangan yang baik untuk memelihara khazanah budaya Melayu. Sementelah pula hanya baju Melayu sahaja yang masih menggunakan ‘Melayu’ untuk menayangkan ciri khas tersebut.
Namun haruslah diberi perhatian oleh pengeluar pakaian atau tukang jahit yang menerima tempahan agar mengekalkan ciriciri baju Melayu yang asal.
Sebagai contoh, baju Melayu teluk belanga hanya mempunyai satu butang yang merujuk kepada tuhan yang satu, iaitu tauhid ‘Allah yang Esa.’
Manakala baju Melayu cekak musang pula mempunyai lima butang bagi melambangkan lima rukun Islam, iaitu dua kalimah syahadah, solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.
Manakala tiga kocek pula merujuk kepada iman, Islam dan ihsan. Ringkasnya mengekalkan ciri-ciri baju Melayu adalah suatu keperluan kerana falsafah yang disimbolkan dalam reka bentuknya yang unik.
Tindakan mengurangkan jumlah butang atau ditambah secara semberono akan menghilangkan mesej tersirat yang terkandung dalam busana Melayu yang menjadi satu teras jati diri. – UTUSAN
PROF. DR. AZMAN CHE MAT
Akademi Pengajian Bahasa UiTM
Kampus Dungun, Terengganu










